KEINDAHAN selaman di Pulau Mabul. FOTO Sapina Abdullah
KEINDAHAN selaman di Pulau Mabul. FOTO Sapina Abdullah
SELAMAN skuba beri pengalaman berbeza. FOTO Sapina Abdullah
SELAMAN skuba beri pengalaman berbeza. FOTO Sapina Abdullah
Sapina Abdullah


AKTIVITI selam skuba menjadi aktiviti tahunan penulis yang biasanya memilih beberapa lokasi menarik di seluruh Malaysia.

Antara lokasi pilihan adalah Pulau Mabul, Sabah yang cukup terkenal sebagai ‘syurga’ laut dalam kalangan penyelam kerana memiliki keindahan tersendiri. Malah, turut memiliki bentuk dasar laut yang pelbagai seperti terumbu karang, batu karang, terumbu dinding, tapak bagi selaman laut dalam, selain terdapat ikan dan siput yang berlainan serta bekas kapal karam.

Jadi tidak hairan, penulis bersama seorang rakan akan ke Pulau Mabul dua tahun sekali. Pada hujung tahun lalu, penulis sekali lagi berpeluang ke sana untuk menikmati keindahan pulau itu.

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tawau menggunakan pesawat mengambil masa hampir tiga jam.

Dari Lapangan Terbang Tawau, kami mengambil pakej penginapan di Pulau Mabul termasuk pengangkutan.

Perjalanan 30 minit dari Lapangan Terbang Tawau ke Pekan Semporna sebelum menaiki bot selama 30 minit untuk ke Pulau Mabul.

KENANGAN penulis bersama rakan. FOTO Sapina Abdullah
KENANGAN penulis bersama rakan. FOTO Sapina Abdullah

TERUJA menyelam bersama penyu. FOTO Sapina Abdullah
TERUJA menyelam bersama penyu. FOTO Sapina Abdullah

Kami ke sana empat hari tiga malam. Terdapat banyak chalet di tepi laut di Pulau Mabul yang menyediakan bilik penginapan selesa untuk pengunjung.

Perancangan awal, kami mahu ke Pulau Semporna namun tidak berjaya kerana permit selaman sudah penuh.

Biarpun memiliki lesen ‘advance,’ namun penulis dan rakan turut ditemani seorang jurupandu (dive master). Biasanya kami akan menyelam sedalam 30 meter yang mengambil masa 45 hingga 60 minit bergantung jumlah gas dalam tangki penyelam.

Lokasi selaman kali ini di Mabul adalah Seaventure, Lobster wall, Panglima Reef, Garden Eel manakala di Pulau Kapalai, kami ke Mandarin Valley dan Mid Reef.

Selaman laut dalam pastinya menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan dengan kepadatan hidupan marin eksotik beraneka warna sukar ditandingi di serata dunia.

Di bawah dasar laut Pulau Mabul, terdapat pelbagai spesies ikan, penyu dan terumbu karang yang indah serta aneka hidupan marin lain yang indah termasuk kuda laut, tapak Sulaiman eksotik, ikan gobi ‘Fire,’ ikan buaya, ikan ‘Pipe’ dan belut laut.

ANTARA hidupan laut di Pulau Mabul. FOTO Sapina Abdullah
ANTARA hidupan laut di Pulau Mabul. FOTO Sapina Abdullah

Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika bertemu ikan yang dikenali sebagai ‘Titan triggerfish’ yang amat agresif sehingga dikejar dan digigit di bahagian kaki itik (fins) kerana secara tidak sengaja menghampiri tempat haiwan itu bertelur.

Mujur saya sempat menyelamatkan diri dan tidak cedera. Selain itu, ketika melakukan selaman di Seaventure, saya bertemu ikan kerapu gergasi sebesar tiga meter dan berpeluang berada amat hampir dengannya untuk mengambil video. Pengalaman menarik lain, saya berpeluang berenang dengan belut gergasi dan penyu.

Keindahan tapak selaman Pulau Mabul membuatkan penulis seolah-olah berada di dunia berbeza yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Setiap kali ke sana penulis akan membawa pulang pengalaman berbeza dan sentiasa berharap kembali lagi.

Penulis berharap pada masa hadapan dapat meneroka lebih banyak lokasi selamaan skuba di luar negara dan berkongsi keindahan dunia ini bersama orang ramai.

KANAK-kanak di Pulau Mabul turut menarik perhatian penulis. FOTO Sapina Abdullah
KANAK-kanak di Pulau Mabul turut menarik perhatian penulis. FOTO Sapina Abdullah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 7:00 AM