KEWUJUDAN batu seakan pintu gerbang menjadikan Gua Penyu seakan penempatan ditenggelami laut.
KEWUJUDAN batu seakan pintu gerbang menjadikan Gua Penyu seakan penempatan ditenggelami laut.
Muhamaad Razis Ismail


Pulau Sipadan, Sabah cukup terkenal dalam kalangan penyelam di dalam dan luar negara kerana memiliki keunikan dan tarikan tersendiri.

Lokasi percutian ini menawarkan pelbagai hidupan marin yang cukup menakjubkan, keindahan terumbu karang yang berwarna-warni dan pelbagai bentuk bumi yang boleh ditemui di dasar laut.

Salah satu lokasi selaman yang menarik perhatian kebanyakan penyelam adalah Gua Penyu atau lebih dikenali sebagai 'Turtle Cave' yang terletak pada kedalaman sehingga 28 meter di bawah laut di Pulau Sipadan.

Menariknya, di dalam Gua Penyu terdapat dua cabang iaitu 'triangle' dan 'chamber' atau dipanggil sebagai 'turtle tomb.'

Bagi juruvideo dasar laut, Abdul Razak Ismail atau lebih mesra disapa sebagai Joe, Gua Penyu adalah lokasi selaman yang memiliki keunikan sendiri dan menjanjikan pengalaman yang tidak akan dilupakan kepada penyelam.

Katanya, sepanjang terbabit dalam bidang itu, Gua Penyu antara lokasi yang paling menarik pernah dijelajahinya.

"Biarpun sudah beberapa kali menyelam di Gua Penyu, saya tetap berasa teruja apabila berpeluang menjelajah gua ini. Setiap kali menyelam saya akan memperoleh pelbagai pengalaman baharu.

"Apabila menyelam di Gua Penyu, saya seolah-olah sedang berada di penempatan lama pada zaman dahulu yang ditenggelami laut.

"Di dalam gua terdapat ruang dan bilik seperti di sebuah kediaman. Malah terdapat batu yang menyerupai pintu gerbang," katanya.

Menurutnya, Gua Penyu juga cukup dikenali dalam kalangan penyelam antarabangsa kerana menjadi satu-satunya gua di dalam laut di dunia ini yang boleh ditemui tulang penyu.

KEUNIKAN Gua Penyu menarik perhatian ramai penyelam di dalam dan luar negara.
KEUNIKAN Gua Penyu menarik perhatian ramai penyelam di dalam dan luar negara.

DIIKTIRAF satu-satu gua di bawah laut yang boleh ditemui tulang dan rangka penyu.
DIIKTIRAF satu-satu gua di bawah laut yang boleh ditemui tulang dan rangka penyu.

PERLU memiliki kemahiran dan teknik yang betul untuk menyelam di dalam gua dasar laut.
PERLU memiliki kemahiran dan teknik yang betul untuk menyelam di dalam gua dasar laut.

"Kisah di sebalik tulang penyu ini sebenarnya agak tragis, apabila penyu yang berehat pada 'tingkap' gua termasuk ke dalam gua yang gelap dan tidak dapat keluar.

"Penyu yang terperangkap ini akhirnya mati di dalam gua. Oleh sebab itu, banyak tulang penyu boleh ditemui di sini," katanya.

Selain itu, keunikan gua ini adalah terletak pada dindingnya yang dilihat dengan jelas seperti sisik ikan.

"Di dalam gua ini juga terdapat hidupan marin namun tidak sebanyak yang berada di luar. Antara yang boleh ditemui adalah ikan 'uji rashid,' snapper dan sebagainya," katanya.

Jelasnya, untuk masuk dan keluar daripada gua ini terdapat dua cara mengikut kemampuan penyelam.

"Kaedah pertama yang paling senang, penyelam boleh masuk pada kedalaman hingga 630 meter sebelum berpatah balik.

"Pilihan kedua lebih mencabar dan 'hardcore' di mana penyelam boleh masuk dan keluar di hujung melalui lubang kecil yang boleh memuatkan satu badan sahaja," katanya.

Bagaimanapun, katanya untuk menyelam ke dalam Gua Penyu bukan calang-calang individu yang dibenarkan melakukan aktiviti di situ.

Joe berkata, penyelam perlu mendapatkan permit dan perlu menjalani kursus khas untuk menyelam di dalam gua di dasar laut.

"Menyelam di dalam gua berbeza dengan selaman biasa dan memerlukan kemahiran serta teknik yang betul. Penyelam perlu mempunyai lesen menyelam secara 'side mount' kerana perlu membawa dua gas.

"Risikonya lebih tinggi dan memerlukan individu yang berpengalaman untuk menjadi pemandu arah bagi mengelakkan tersesat di dalam gua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 6:47 AM