Edwin Mathew A/L Chew Ho Beng memperagakan pakaian suku kaum Semai. FOTO Ihsan Ronnie Bahari
Edwin Mathew A/L Chew Ho Beng memperagakan pakaian suku kaum Semai. FOTO Ihsan Ronnie Bahari
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Demi membuka mata masyarakat terhadap kepelbagaian suku kaum Orang Asli dan keistimewaannya, satu Pertandingan Pakaian Tradisional Orang Asli dianjurkan secara dalam talian.

Pertandingan itu dianjurkan oleh Persatuan Kebudayaan Kesenian Orang Asli Perak (PKKOAP) dan adalah edisi kedua selepas penganjuran sulung pada 2018.

Pengerusi PKKOAP Ronnie Bahari berkata, pertandingan itu sepatutnya diadakan pada tahun lalu, tetapi tertangguh disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, Ronnie yang bertugas sebagai jurugambar sepenuh masa gembira perancangan itu akhirnya tercapai pada tahun ini dengan mengangkat elemen batik dan flora sebagai tema pertandingan.

Katanya, penyertaan dibuka untuk semua masyarakat Orang Asli seluruh negara berumur 13 tahun dan ke atas.

"Idea menganjurkan pertandingan ini tercetus pada 2018 iaitu pada tahun pertama penubuhan PPKOAP.

"Penganjurannya diadakan secara dalam talian kerana melihat kemajuan penempatan masyarakat Orang Asli pada masa kini yang sudah mempunyai akses terhadap Internet kecuali di beberapa kawasan dan langkah penjimatan persatuan kerana tidak mempunyai dana besar bagi menganjurkan aktiviti berskala besar.

"Jadi, penganjuran aktiviti secara dalam talian lebih memudahkan dan matlamat pertandingan adalah menggalakkan serta meningkatkan keyakinan Orang Asli dalam menonjolkan budaya suku kaum masing-masing menerusi pakaian tradisional," katanya dihubungi.

PENGERUSI PKKOAP ,Ronnie Bahari selaku penganjur dan juri yang mengadili Pertandingan Pakaian Tradisional Orang Asli
PENGERUSI PKKOAP ,Ronnie Bahari selaku penganjur dan juri yang mengadili Pertandingan Pakaian Tradisional Orang Asli

Menurut Ronnie, jumlah penyertaan diterima meningkat hampir 10 kali ganda berbanding ketika penganjuran edisi pertama.

Malah, pihaknya berbesar hati kerana menerima penyertaan di luar jangkaan membabitkan 14 daripada 18 suku kaum masyarakat Orang Asli di seluruh negara.

"Penyertaan dibuka bermula 17 Januari dan sudah ditutup pada 4 Februari lalu.

"Peserta diminta menghantar dua keping gambar bersama butiran diri iaitu nama, umur, suku kaum, tempat tinggal dan nombor telefon ke emel rasmi penganjur.

"Mengikut perancangan, akan ada satu kategori saja, tetapi sebanyak 2,398 penyertaan diterima berbanding 240 pada 2018 menyebabkan kita memecahkannya kepada lelaki dan wanita," katanya.

Menurut beliau, edisi kali ini lebih menarik kerana disertai Orang Asli suku Batek dan Lanoh selain peserta muda hingga berusia 70 tahun," katanya.

Menurut Ronnie, kesemua gambar peserta dimuat naik di laman Facebook (FB) rasmi PKKOAP sepanjang tempoh pertandingan.

Ronnie berkata, pertandingan itu akan diadili oleh sembilan juri profesional dengan penilaian dilakukan bermula 8 Februari ini manakala pengumuman pemenang dibuat menerusi siaran langsung di FB pada 28 Februari.

"Selain penganjur, saya juga menggalas tugas sebagai ketua juri bagi pertandingan ini dan dibantu lapan wakil daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) serta pemimpin Orang Asli.

"Pemarkahan diberi berdasarkan kreativiti dan bagaimana peserta mengikut tema selain gaya memperagakan pakaian, keaslian, kekemasan serta padanan aksesori dipakai.

"Sebanyak 27 hadiah ditawarkan merangkumi tiga pemenang utama dan 10 cenderahati bagi setiap kategori serta anugerah khas untuk peserta yang gambarnya meraih jumlah tanda suka paling banyak di FB," katanya.

GADIS suku  Temuan ,Jazreen A/P Jusoh mengetengahkan imej pahlawan  wanita Orang Asli. FOTO Ihsan Ronnie Bahari
GADIS suku Temuan ,Jazreen A/P Jusoh mengetengahkan imej pahlawan wanita Orang Asli. FOTO Ihsan Ronnie Bahari

Peluang peserta serlah kreativiti

Kuala Lumpur: "Saya tidak harapkan kemenangan kerana sekadar menyertai pertandingan itu bagi mengetengahkan kreativiti menerusi pakaian diperagakan," kata Jazreen a/p Jusoh, gadis Orang Asli suku Temuan berasal dari Kampung Sungai Dua Hulu, Karak, Pahang.

Jazreen, 23, adalah seorang daripada peserta Pertandingan Pakaian Tradisional Orang Asli anjuran Persatuan Kebudayaan Kesenian Orang Asli Perak (PKKOAP).

Bercerita lanjut, Jazreen yang juga penuntut semester lima Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata, dia tidak menyangka akan menyertai pertandingan itu kerana membuat persediaan pada saat akhir.

"Jika diikutkan tidak sempat kerana saya ada peperiksaan semester akhir pada 2 dan 3 Februari lalu malah sepatutnya orang lain yang menjadi model.

"Namun, dia (model) menarik diri pada saat akhir disebabkan ada masalah, saya kemudiannya menjadi bidan terjun.

"Sesi fotografi diadakan di dalam hutan berhampiran rumah selepas tamat peperiksaan dengan gambarnya diambil oleh adik saya (Jasmeen, 15)," katanya dihubungi.

Menurut Jazreen, pakaian digayakan ketika sesi fotografi itu pula disuai padan dengan bantuan rakan baiknya Narita a/p Udin, 24.

"Idea dan konsep keseluruhan daripada saya sendiri tetapi rakan ada membantu daripada segi penggayaan.

"Saya lihat kebanyakan peserta wanita kelihatan ayu dalam gambar mereka.

"Jadi, saya cuba tunjukkan kelainan dengan bergambar memegang batang kayu seolah-olah sedang bersumpit bagi mengetengahkan sisi pahlawan wanita Orang Asli dan memakai kain batik bagi mengikut tema ditetapkan penganjur," katanya.

Seorang lagi peserta, Azrul Amran, 21, yang menetap di Kampung Kenang, Sungai Siput, Perak berkata, dia tertarik untuk menyertai pertandingan berkenaan kerana mahu mencuba nasib.

Katanya, dia tidak berseorangan sebaliknya dibantu kakak saudaranya, Erma Husin, 30, yang bertindak sebagai jurugambar dan penata gaya.

"Saya tidak pernah menyertai pertandingan seperti ini tetapi bertuah kerana kakak saudara banyak membantu.

"Dia yang membantu menyolek wajah selain mengambil gambar ketika saya berada di atas rakit.

"Apa saya gayakan itu sememangnya imej tradisional masyarakat suku kaum Orang Asli Temiar yang menggunakan daun kelapa pada bahagian badan dan kepala," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 7:01 AM