SUASANA perkampungan Orang Asli mampu menarik perhatian pelancong.
SUASANA perkampungan Orang Asli mampu menarik perhatian pelancong.
Hafiz Ithnin


Majoritinya berkulit gelap, berambut kerinting dan perhiasan kepala dinamakan Tempok sinonim dengan negara ini. Mereka mudah disapa dan sentiasa bersedia membantu sekiranya pengembara hutan mahupun penjejak gunung inginkan bantuan sebagai penunjuk arah.

Kehidupan mereka begitu dekat dengan hutan dan alam semula jadi. Ada beranggapan mereka ini golongan terpinggir kerana jauh ketinggalan daripada kemajuan masyarakat luar yang lebih moden dan serba canggih.

Hakikatnya, Orang Asli bukan golongan terpinggir. Mereka adalah masyarakat eksklusif yang berpegang teguh kepada budaya, adat dan kepercayaan untuk diturunkan kepada generasi yang akan datang.

Keunikan mereka juga antara elemen yang mampu mempelbagaikan tarikan pelancongan di negara ini. Apatah lagi Malaysia sememangnya terkenal dengan pelbagai kepercayaan, budaya dan bangsa.

Di negara ini terdapat lebih 200,000 Orang Asli terdiri daripada tiga masyarakat iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Proto yang dipecahkan kepada 18 suku masyarakat antaranya Kensiu, Kintak, Termiar, Semai, Kuala dan Kanaq.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sebagai entiti yang memastikan golongan berkenaan terus membangun dan maju. Agensi ini turut mengenal pasti keunikan budaya Orang Asli untuk menjadi tarikan kepada sektor pelancongan negara.

Ketua Pengarah JAKOA, Mohd Jamalludin Kasbi berkata, pelancongan eko yang membabitkan Orang Asli masih baru dan pihaknya menerusi aktiviti pembangunan modal insan kini dalam usaha mewujudkan pemandu pelancong dalam kalangan masyarakat berkenaan.

PRODUK kraf antara elemen diketengahkan masyarakat Orang Asli.
PRODUK kraf antara elemen diketengahkan masyarakat Orang Asli.

Katanya, JAKOA juga menggalakkan masyarakat Orang Asli mewujudkan inap desa di kampung masing-masing kerana mereka mempunyai kepakaran dalam pelancongan eko serta budaya yang unik untuk diketengahkan.

“Pada masa ini antara perkampungan Orang Asli yang mempunyai program inap desa adalah Kampung Gop kerana terdapat bunga rafflesia di kawasan berkenaan, sekali gus mampu menarik pelancong berkunjung ke kampung mereka.

“Kita juga menggalakkan orang ramai untuk datang sendiri ke kampung Orang Asli di seluruh negara bagi mengenali kehidupan dan budaya mereka yang unik,” katanya.

Bagaimanapun, pihaknya menyarankan orang ramai untuk memaklumkan sebarang aktiviti membabitkan Orang Asli kepada JAKOA sama ada di peringkat negeri atau daerah.

Langkah itu bagi membolehkan JAKOA membantu pelawat mendapatkan kerjasama daripada penduduk kampung setempat kerana ada antara mereka yang masih tertutup atau malu untuk berjumpa dengan masyarakat luar.

Mohd Jamalludin berkata, sekiranya orang ramai terus mengadakan program kemasyarakatan sambil melancong di perkampungan Orang Asli, ia sekali gus dapat memberi kesan positif dari segi pembangunan ekonomi dan infrastruktur asas yang diperlukan golongan berkenaan.

“Misi kemanusiaan yang dijalankan pihak tertentu seperti membantu meningkatkan kesedaran kesihatan, pendidikan dan penyelidikan dapat membangunkan aktiviti sosial masyarakat Orang Asli terutama yang kedudukannya jauh di pedalaman,” katanya.

Sementara itu, pada masa ini kerajaan menyediakan kemudahan jalan kampung sebanyak 84 peratus, bekalan elektrik (80 peratus), bekalan air (79 peratus) dan sebanyak 82 peratus Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) daripada keseluruhan 853 perkampungan Orang Asli yang berdaftar di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 1:48 PM