BARONGAN antara persembahan kebudayaan dapat dilihat di Keraton Mbah Anang.
BARONGAN antara persembahan kebudayaan dapat dilihat di Keraton Mbah Anang.
Nurul Husna Mahmud


MUAR antara daerah yang perkampungannya banyak dihuni masyarakat Jawa. Tidak hairanlah sebaik menyusuri kawasan itu, dapat dilihat cara hidup dari pertuturan, makanan sehinggalah kepada adat budayanya yang masih menebal.

Penulis berkesempatan memenuhi undangan perkahwinan ke Parit Yusuf baru-baru ini, kesempatan itu diambil untuk mengunjungi satu 'port' unik iaitu Keraton Mbah Anang yang terletak kira-kira 15 minit pemanduan ke Parit Bugis.

Jujurnya, ketika melewati struktur seakan-akan pintu gerbang menyerupai binaan sering dilihat di bumi Jawa membuatkan seolah-olah berada di dimensi yang berbeza.

Begitulah asyiknya panorama kediaman Keraton Mbah Anang, rumah kayu tiang empat dan berbumbung tiga tingkat tersergam didiami keluarga besar Allahyarham Mingan Sakimin.

Kini ia didiami generasi keempat yang juga Setiausaha Persatuan Jawa Parit Bugis (PERJAWA), Aliff Ashraf Johar, cicit kepada Mingan dan pasangannya, Tinah Wahid.

Kata Aliff, kediaman ahli keluarganya itu turut menjadi pusat tumpuan kepada aktiviti kebudayaan berteraskan adat tradisi masyarakat Jawa di Muar.

"Seni bina rumah adalah berdasarkan bangunan ikonik, Masjid Demak bertiang sembilan di Jawa Tengah yang dibina sunan wali Songo.

TOPENG mengerikan adalah gambaran watak epik Perabu dan Warok.
TOPENG mengerikan adalah gambaran watak epik Perabu dan Warok.

"Sedikit berlainan apabila rumah ini memilih untuk didirikan bertiang empat berdasarkan falsafah 'sedulur papat limo pancer.'

"Bumbung tiga tingkat itu pula melambangkan tingkat kefahaman manusia iaitu tingkat dasar atau 'lantai' bermaksud, bumbung pertama merujuk kepada tariqat, bumbung keduanya adalah hakikat dan bumbung terakhir adalah makrifat.

"Semua itu menuju atau tunjuk ke langit merujuk kepada kalimah Syahadah Tuhan yang Esa.

"Ini mengingatkan kami apa sahaja adat atau persembahan budaya yang diamalkan atau dipersembahkan haruslah tidak bercanggah dengan agama Islam," katanya.

Selain kerap dikunjungi pencinta budaya dan tradisi, kata Aliff lokasi ini sering menjadi tumpuan untuk bergambar terutama pasangan berkahwin.

KERATON Mbah Anang berbumbung tiga tingkat.
KERATON Mbah Anang berbumbung tiga tingkat.

"Pada hari tertentu, persatuan akan mengadakan latihan baik persilatan atau persembahan kebudayaan di Keraton Mbah Anang.

"Mereka yang pernah melihat persembahan barongan atau kuda kepang di Indonesia seperti di Ponorogo, Jawa Timur Indonesia juga boleh menyaksikan persembahan sama di Keraton Mbah Anang.

"Barongan adalah tarian klasik drama epik mengenai perkelahian Perabu Koloo Siwan Donoo (Perabu) dan Warok Singa Ludro (Warok) berpunca menyunting Puteri Songgo Langit dari Kerajaan Kendiri.

"Penari akan mengenakan topeng yang menggerunkan dan penari jatilan akan diiringi pemuzik tradisi membuatkan satu tarikan boleh dinikmati pengunjung andai ada temasya dianjurkan di sini.

"Lain hari, pengunjung masih boleh menikmati lawatan dalam rumah Keraton Mbah Anang yang ada pelbagai barangan antaranya arca kayu dan pelbagai alat muzik tradisi serta peralatan persembahan," katanya.

PENULIS mengambil kesempatan merakam kenangan bersama kenalan di Keraton Mbah Anang.
PENULIS mengambil kesempatan merakam kenangan bersama kenalan di Keraton Mbah Anang.

Penulis mengakui kagum dengan seni bina dan generasi menghuni rumah terbabit yang masih kuat memelihara adat seni dan budaya masyarakatnya.

Malah penghuni rumah pelbagai generasi begitu mesra dan terbuka melayani setiap pertanyaan termasuklah moyang mereka, Tinah, 92.

Selain kerja pertukangan tinggi dari tukang kayu berasal dari tanah Jawa, boleh dilihat juga beberapa barangan antik yang ditempatkan di bawah rumah terbabit.

Pedati kuda, katil besi, lukisan dan banyak lagi dapat dilihat dalam 'keraton' terbabit. Jika diteliti 'mood' sepanjang menyusuri rumah ini tidak dinafikan pemiliknya cukup menyanjung adat tradisi.

Di luar juga setiap sudut memiliki keunikan termasuklah tangga konkrit yang menggunakan jubin berhias.

Usai melawat kediaman, anda boleh teruskan pula perjalanan ke bandar Muar bagi menikmati mee bandung dan rojak petis antara sajian wajib apabila singgah ke bandar diraja itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 6:40 AM