Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Kuala Lumpur: Kepakaran Dr Fadzlina Abd Karim menghasilkan anggota badan palsu berjaya memulihkan 270 pesakit yang sebelum ini mengalami kecacatan rongga terbuka di bahagian muka kembali kepada 'normal'.

Dr Fadzlina yang bertugas sebagai Pakar Klinikal Pergigian Prostodontik dan Maksilofasial Prostesis, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) menghasilkan anggota badan palsu di bahagian muka sejak sembilan tahun lalu.

Untuk rekod, kecacatan rongga terbuka adalah disebabkan kehilangan anggota bahagian muka akibat barah, kemalangan yang membabitkan kenderaan atau bahan kimia dan kecacatan ketika dilahirkan seperti sumbing serta cuping telinga abnormal dalam kalangan kanak-kanak.

Dr Fadzlina berkata, kira-kira 80 peratus individu memerlukan anggota badan palsu ialah pesakit barah sama ada barah mulut, hidung serta mata seperti retinoblastoma (barah pada retina mata) yang dialami kanak-kanak.

Menurutnya, anggota badan palsu yang dihasilkannya ialah hidung, telinga, mata, bebola mata, kulit, rahang dan gigi.

"Anggota palsu seperti pipi, hidung, kulit sekitar mata dan telinga diperbuat daripada silikon manakala gigi, gusi, rahang serta bebola mata menggunakan plastik akrilik.

"Saya mengambil masa dua hingga empat minggu untuk menyiapkan anggota palsu bergantung kepada jenis kecacatan dialami pesakit.

"Proses membuat anggota palsu bermula dengan pengambilan acuan, ukiran daripada lilin, percubaan anggota palsu, pemprosesan silikon atau plastik akrilik di makmal dan pewarnaan bersesuaian dengan warga kulit," katanya.

Jelasnya, keperluan terhadap anggota palsu adalah untuk menggantikan anggota yang hilang akibat penyakit barah, kemalangan dan kecacatan ketika dilahirkan.

"Penggunaan anggota palsu dapat mengembalikan sebahagian fungsinya terutama anggota dalam mulut. Tanpa rahang, fungsi mengunyah makanan dan percakapan akan terganggu.

"Manakala penggunaan anggota palsu di bahagian luar iaitu hidung dan muka adalah lebih kepada kosmetik.

"Tujuannya untuk menutup kekurangan pesakit supaya dapat meningkatkan keyakinan dirinya," katanya.

Ditanya faktor mendorongnya meminati bidang maksilofasial prostesis, Dr Fadzlina berkata, ketika itu beliau mendapati Malaysia tidak mempunyai kepakaran melakukan pembentukan semula anggota palsu selepas pembedahan.

"Ini menyebabkan pesakit terpaksa meneruskan kehidupan dengan kecacatan rongga terbuka yang membuatkan mereka malu terhadap kekurangan diri.

"Walaupun fungsi anggota palsu tidak sama seperti anggota asal, tetapi melalui kepakaran saya, ia dapat membantu pesakit membina semula keyakinan diri seterusnya kembali menjalani kehidupan normal," katanya.

DR Fadzlina menunjukkan cuping telinga palsu yang dihasilkannya. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
DR Fadzlina menunjukkan cuping telinga palsu yang dihasilkannya. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI

Ambil masa sebelum pakai anggota palsu

Pesakit barah yang menjalani rawatan kemoterapi atau radioterapi perlu menunggu satu tempoh sehingga anggota badan yang dibedah pulih sebelum boleh memakai anggota palsu.

Pakar Klinikal Pergigian Prostodontik dan Maksilofasial Prostesis, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Dr Fadzlina Abd Karim berkata, selalunya, selepas pembedahan akan berlaku pengecutan tisu di sekeliling bahagian yang dibedah.

"Jika kita lakukan awal (penggunaan anggota palsu), tanpa menunggu tempat pembedahan pulih sepenuhnya, dikhuatiri anggota palsu ini tidak sesuai untuk digunakan.

"Oleh itu, pesakit perlu menunggu selama sebulan selepas rawatan kemoterapi atau radioterapi. Kemudian kita lihat sama ada bahagian dibedah bersedia atau tidak untuk dipakaikan anggota palsu," katanya.

Dr Fadzlina berkata, lazimnya pesakit memakai anggota palsu atas saranan atau rujukan daripada pakar perubatan.

"Kebanyakan pesakit bersetuju dengan saranan itu memandangkan pembedahan plastik kurang sesuai kepada mereka atas beberapa faktor.

"Ada kalanya, pembedahan plastik tidak menghasilkan reka bentuk organ sebenar seperti yang mereka inginkan. Maka, penggunaan anggota palsu adalah pilihan yang tepat," katanya.

Dr Fadzlina berkata, pesakit perlu mencuci anggota palsu ini setiap hari bagi tujuan kebersihan dan menjaga kualiti bahan serta warnanya.

"Warna anggota palsu mudah berubah disebabkan ia terdedah kepada cahaya matahari," katanya.

Rakan gelar Zorro, 10 tahun pakai topeng tutup kecacatan

"Lebih 10 tahun saya memakai topeng untuk menutup kecacatan rongga terbuka di bahagian muka.

"Kebergantungan pada topeng ini setiap kali keluar rumah menyebabkan rakan menggelarkan saya Zorro," kata Asmadi Ishak.

Asmadi, 59, adalah bekas pesakit barah rahang yang merebak ke bahagian hidung.

Akibatnya, Asmadi mengalami kecacatan rongga terbuka kerana bahagian rahang dan hidungnya terpaksa dibuang menerusi pembedahan bagi menyelamatkan nyawa.

Kesan lain yang terpaksa ditanggung Asmadi ialah menjadi 'bisu' kerana tidak boleh bercakap dengan sempurna akibat kehilangan sebahagian besar rahang atasnya.

Cara dia berkomunikasi bersama keluarga atau rakan-rakan adalah melalui tulisan tangan pada kertas.

Asmadi berkata, biarpun diuji dengan ujian berat, tetapi dia tetap optimis dan positif serta reda dengan ketentuan Allah SWT.

"Setiap perkara baik mahupun buruk, saya terima dengan hati terbuka. Saya yakin perancangan Allah SWT adalah yang terbaik.

"Saya mula menggunakan anggota palsu iaitu rahang dan hidung selepas mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Mac lalu.

"Nikmat besar yang saya peroleh selepas menggunakan anggota palsu ialah dapat menikahkan anak pada bulan yang sama," katanya.

Katanya, lebih menggembirakan, butir percakapannya semakin jelas, malah dia boleh berkomunikasi dengan selesa.

Berkongsi pengalamannya sebelum didiagnos barah rahang, Asmadi berkata, dia menderita diserang rasa 'kepanasan' selama tiga tahun yang tidak berkurangan walaupun memasang penyaman udara serta kipas.

"Selain itu, saya turut diserang kesakitan selain denyutan yang kuat di seluruh badan terutama di bahagian sendi.

"Tahap kesihatan pula semakin merosot, sering demam selain bengkak pada rahang, pipi serta hidung. Saya kemudiannya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemeriksaan mengesahkan saya menghidap barah rahang dan sudah merebak ke kawasan hidung," katanya.

Menurut Asmadi, dia lewat berjumpa doktor kerana sebelum itu mendapatkan rawatan alternatif dengan pengamal perubatan tradisional.

"Selain dibekalkan air penawar dan bedak sejuk, saya turut diberikan sirih untuk dimakan bersama kapur sebagai ubat.

"Malangnya, sireh dan kapur ini menyebabkan barah saya semakin merebak dan menjadi lebih teruk," katanya.

Asmadi menasihati orang ramai supaya segera berjumpa dengan doktor sekiranya mengalami masalah kesihatan, bukan pawang atau bomoh.

"Langkah awal ini dapat mencegah penyakit menjadi lebih teruk selain peluang untuk sembuh tinggi," katanya.

KUALA LUMPUR 23 JUN 2022.  Hidung, gigi, mata dan telinga palsu di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.
KUALA LUMPUR 23 JUN 2022. Hidung, gigi, mata dan telinga palsu di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 12:00 PM