Lizam Ridzuan


PASARAN trak pikap kini semakin menarik dan sejak kebelakangan ini, beberapa model 'flagship' daripada jenama utama yang semakin ranggi ditawarkan untuk pasaran tempatan.

Satu daripadanya keluaran Nissan iaitu Navara PRO-4X. Ia varian tertinggi buat model ini yang pernah dikeluarkan dan bukan sahaja didatangkan dengan kemasan bergaya, malah dengan beberapa talaan bagi pemanduan lasak dan lebih selesa.

Vroom berpeluang memandu uji model ini baru-baru ini.

Untuk rekaan luaran, antara yang paling mencuri tumpuan ialah pada gril hadapan.

Ia berbentuk lebar dengan kemasan hitam bercorak 'Interlock'.

Corak itu diperkenalkan pada model Titan yang ada di pasaran Amerika Syarikat.

Selain tampil logo Nissan baharu dengan elemen hitam dan merah, ia juga datang dengan lampu projektor Quad LED pertama dalam segmennya serta lampu nyalaan siang (DRL).

Elemen lampu sama dapat dilihat di bahagian belakang kenderaan ini.

Pemegang pintu, dapra, cermin sisi, rel bumbung, tangga sisi dan rim aloi bersaiz 17 inci dengan tayar pelbagai bentuk permukaan juga tampil dengan elemen hitam.

Pada bahagian pintu kargo, terdapat 'Tailgate Assist' baharu bagi memudahkan proses membuka dan menutup walaupun hanya dengan menggunakan sebelah tangan.

Tangga belakang yang bersepadu dengan bampar juga memudahkan urusan memijak naik.

VARIAN tertinggi Navara gaya maskulin.
VARIAN tertinggi Navara gaya maskulin.

Ruang kabin pula lebih segar dengan pembaharuan pada papan pemuka dan meter pemandu. Penulis melihatnya umpama gaya dalaman kenderaan utiliti sukan (SUV).

Untuk sistem hiburan, ia tampil dengan paparan audio skrin sesentuh bersaiz lapan inci termaju dengan ketersambungan AppleCarPlay dan Android Auto.

Ia juga dilengkapi kamera 360 darjah (Intelligent Around View Monitor (I-AVM) bagi memudahkan urusan parkir, mengundur atau melalui ruang sempit.

Meter pemandu pula lengkap dengan Paparan Digital Bantu-Pemandu Termaju (ADAD) bersaiz tujuh inci analog dan digital warna penuh.

Stereng kulit dengan butang fungsi audio dan pelayaran pula memudahkan kawalan dan larasan berkaitan.

Kerusi hadapan pula dibaluti kulit inspirasi graviti sifar.

Ruang simpanan turut disediakan di bawah tempat duduk belakang. Ia menempatkan alatan asas menukar tayar.

KEMASAN kabin baharu.
KEMASAN kabin baharu.

Bahagian tengah kerusi belakang boleh dijadikan perehat tangan. Ia turut tersedia dengan ruang meletak cawan.

Untuk pemanduan, ia dikuasakan dengan enjin 2.5 liter DOHC Intercooler Turbo-diesel yang menjana kuasa 190PS pada 3,600 rpm dan tork maksimum sehingga 450Nm pada 2,000 rpm dipadankan dengan transmisi automatik dan manual tujuh kelajuan.

Untuk model ini, ia datang dengan sistem 'Electronic Locking Rear Differential' yang mengunci roda belakang serta memutarkannya pada kelajuan sama.

Ia sesuai digunakan jika kenderaan terperangkap dalam pasir atau lumpur.

Sistem 'Trailer Sway Assist' baharu membantu mengekalkan arah kenderaan dengan kawalan tenaga brek jika menempuh laluan licin yang akan membuatkannya bergoyang.

Sistem gantungan belakang dengan suspensi Multilink serta

'Dual Rate Coil Springs' membantu mengurangkan olengan atau lambungan tanpa mengira bebanan.

ENJIN 2.5 liter Turbo Diesel.
ENJIN 2.5 liter Turbo Diesel.

Memandu di laluan tidak rata atau sukar membolehkan penulis memilih mod 'Off-Road' yang memacu pilihan pacuan empat roda kelajuan rendah (4LO) untuk kelancaran dan keyakinan melepasinya dengan baik.

Ruang kargonya kini dilengkapi sistem 'Utili-Track Channel' baharu dengan dua saluran dan empat penyangkut aluminium tahan lasak yang boleh dikunci pada mana-mana bahagian sepanjang rel berkenaan.

Ia membolehkan barangan diikat kemas, selamat dan pantas. Model ini juga mampu menampung muatan sehingga 1.1 tan. Ia dipertingkatkan daripada model sebelum ini menjadikannya elemen penting untuk tujuan komersial.

Ciri keselamatannya pula antaranya membabitkan 'Nissan Intelligent Mobility' dengan 'Intelligent Driver Alertness', 'High Beam Assist' dan 'Lane Departure Warning'.

Ia ditambah dengan enam beg keselamatan SRS serta Sistem Kawalan Cengkaman dan Kawalan Dinamik.

Secara keseluruhan, penulis berpendapat, Navara PRO-4X ini memang lengkap dengan ciri termaju selain gaya lebih ranggi.

Rekaan gaya maskulin serta ciri keselamatan terbaik dengan pengendalian seakan SUV antara kelebihan yang terdapat padanya.

Tangki bahan api 80 liter memberikan anggaran jarak perbatuan sehingga 650 kilometer (km).

Empat pilihan warna ditawarkan iaitu Kelabu Stealth, merah, Burning, Putih Mutiara (adalah warna serba baharu) dan Hitam Star daripada pilihan sedia ada.

Navara PRO-4X dijual pada harga RM142,200 dengan jaminan lima tahun waranti atau 150,000 km yang mana lebih dahulu.

Selain PRO-4X Navara turut ditawarkan melalui varian Single Cab Manual, SE Manual, SE Auto, V Auto dan VL Auto yang ditawarkan pada harga RM91,900 hingga RM137,900.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 7:01 AM
RUANG kargo dengan Utili-Track Channel.
RUANG kargo dengan Utili-Track Channel.
KERUSI kulit jahitan merah dan putih dengan elemen sporty.
KERUSI kulit jahitan merah dan putih dengan elemen sporty.
PINTU kargo dengan  ‘Tailgate Assist’
PINTU kargo dengan ‘Tailgate Assist’