KIA Carnival Serba Baharu, mobiliti keselesaan sentuhan prestasi.
KIA Carnival Serba Baharu, mobiliti keselesaan sentuhan prestasi.
Lizam Ridzuan


PERMINTAAN kenderaan pelbagai guna (MPV) meskipun tidak setinggi kenderaan utiliti sukan (SUV), namun tetap mendapat sambutan.

Bagi yang memiliki ahli keluarga ramai atau perlu membawa penumpang dengan 11 tempat duduk yang selesa, MPV masih relevan.

Bagi memenuhi keperluan golongan itu, Kia Carnival Serba Baharu dilancarkan baru-baru ini oleh pengedar utama jenama itu di negara ini, Dinamikjaya Motors Sdn Bhd.

Wakil media juga berpeluang memandu ujinya dari Shah Alam, Selamgor ke Ipoh, Perak bagi merasai prestasi dan penawaran terkini kenderaan berkenaan.

Kia Carnival Serba Baharu generasi keempat ini ialah MPV saiz pertengahan yang direka dengan sentuhan inovasi, fleksibel dan gaya selain mengekalkan DNA dinamik jenama ini.

Kemasan luaran dan dalamannya selain berciri futuristik, ia turut diinspirasikan daripada elemen SUV bagi menyerlahkan rekaan keseluruhan.

Gaya futuristiknya boleh juga dilihat melalui ciri gril krom ikonik konsep 'hidung harimau' serta rekaan lampu hadapan LED dan nyalaan siang (DRL) bersepadu.

KEMASAN rekaan belakang.
KEMASAN rekaan belakang.

PAPAN pemuka gaya teknologi.
PAPAN pemuka gaya teknologi.

KABIN dengan kapasiti 11 tempat duduk.
KABIN dengan kapasiti 11 tempat duduk.

Kedudukan lampu sebaris memanjang merentasi pintu but dengan spoiler dan kemasan krom pada bampar pula menyerlahkan gaya premium MPV ini.

Selain itu, ia juga didatangkan antaranya dengan rim aloi bersaiz 18 inci, pintu gelongsor di kedua-dua bahagian serta pintu belakang kuasa elektrik.

Ia dilengkapi kluster meter analog dan dgital TFT bersaiz 4.2 inci dan sistem infotainmen bersaiz 12.3 inci yang turut berperanan sebagai Paparan Pemandangan Sekeliling (SVM).

Berkapasiti 11 muatan, tempat duduknya dibaluti kulit malah kerusi pemandu serta penumpang depan didatangkan dengan larasan elektrik lapan ketetapan.

Untuk prestasi, ia dijana enjin 2.2 liter Smartstream Turbo CRDi DOHC diesel yang menjana kuasa 199 kuasa kuda (hp) pada 3,800rpm dan 440Nm pada 1,750 hingga 2,750 rpm.

Ia juga dilengkapi transmisi lapan kelajuan automatik (E-Shift) serta kapasiti tangki bahan api 72 liter.

Pada masa sama, MPV ini juga didatangkan antaranya tujuh beg keselamatan SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Kuasa-Brek Elektronik (EBD), Bantu Brek (BA) dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC).

Untuk pasaran Malaysia, Kia Carnival Serba Baharu ini adalah import sepenuhnya (CBU) dan ia dijual pada harga RM196,340 (atas jalan tanpa insurans) dengan lima tahun jaminan pengeluar atau 100,00km yang mana lebih dahulu dan penyelenggaraan percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 7:00 AM