REKAAN MPV gaya terkini.
REKAAN MPV gaya terkini.
Lizam Ridzuan


KIA Carnival Baharu dilancarkan ke pasaran tempatan ketika ramai memilih model pasaran 'gray' atau kenderaan import terpakai (recond) untuk mendapatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) premium.

Jika melihat pada harga, sudah pasti ia sukar untuk bersaing. Namun sebenarnya, permintaan terhadap model ini sangat memberangsangkan dan apakah keistimewaannya?

Vroom berpeluang memandu uji Kia Carnival Baharu baru-baru ini daripada varian tujuh dan lapan tempat duduk yang diperkenalkan ke pasaran tempatan pada awal 2022.

Melihat daripada bentuk luaran, model generasi keempat ini hadir dengan elemen futuristik terutama daripada segi pandangan hadapan dengan gril ciri pixel serta lampu hadapan lebih tirus.

MPV ini semakin menyerlah dengan garis lurus pada kerangkanya.

Ia juga didatangkan dengan rel bumbung. Kemasan krom pada bampar menambah gaya premium MPV ini.

Tampil dengan rim aloi bersaiz 18 inci, ia menjadikan MPV ini kelihatan kukuh.

Untuk ruang kabin, tiga pilihan tempat duduk diberikan iaitu 7, 8 dan 11 namun untuk varian tertinggi, ia membabitkan 7 tempat duduk.

Kerusi kapten dengan perehat kaki di baris kedua ternyata cukup selesa untuk penumpang.

MPV ini bukan saja selesa malah dilengkapi dengan dua bumbung suria khusus untuk pemandu dan penumpang bagi menyerlahkan sisi elegannya.

Untuk pemandu, dengan kedudukan kerusi yang tinggi, mudah melihat kenderaan hadapan.

Kenderaan ini agak lebar dan ia memberi kelebihan pada ruang konsol tengah dengan perehat lengan luas, selain berfungsi sebagai tempat simpanan barang.

Ia juga dilengkapi ruang meletak minuman dan sambungan USB untuk pengecasan.

Di baris kedua, ada butang larasan penyaman udara.

PAPAN pemuka dengan dengan meter dan sistem infotainmen seakan bersepadu.
PAPAN pemuka dengan dengan meter dan sistem infotainmen seakan bersepadu.

Selain itu, jika baris ketiga dilipat, ia menawarkan ruang simpanan yang lebih luas. Ia cukup praktikal dan fleksibel bagi model ini.

MPV ini dikuasakan enjin SmartStream 2.2 liter turbo CRDi diesel. Ia menjana 199 kuasa kuda dengan 440Nm, sangat berprestasi pada pelbagai kelajuan.

Menerusi 8 kelajuan automatik (E-Shift), ia menawarkan kelancaran berterusan sama ada pada kelajuan tinggi atau untuk memintas kenderaan.

Tidak seperti memandu sebuah kenderaan diesel, ia terasa cukup responsif.

RUANG kargo lapan tempat duduk selepas kerusi baris ketiga dilipat.
RUANG kargo lapan tempat duduk selepas kerusi baris ketiga dilipat.

Suspensi hadapan MacPherson Struts dan belakang multi-link menyajikan kestabilan serta keselesaan buat penumpang.

Secara keseluruhan, Kia Carnival ini bukan calang-calang MPV kerana ia perlu dipandu uji terlebih dahulu untuk merasai kelebihan enjin dieselnya.

GAYA rekaan premium
GAYA rekaan premium

Ruang kabin yang luas, kerusi yang selesa, kemudahan untuk keluar masuk penumpang dengan pintu gelonsor antara ciri-ciri utama MPV ini.

MPV ini didatangkan dengan tujuh beg keselamatan, kawalan Bantuan Permulaan Bukit (HAC), Bantuan Keluar Selamat (SEA), Membrek Perlanggaran Pelbagai (MCB), Bantuan Mengelak-Perlanggaran Trafik-Melintas Belakang (RCCA), Bantuan Kekal Laluan (LKA) dan Kawalan Pelayaran Pintar (SCC).

PELANCARAN generasi pertama di Malaysia pada 1999.
PELANCARAN generasi pertama di Malaysia pada 1999.

Paling utama, tangki bahan api 72 liter membolehkan ia 'mengembara' sehingga 800km dengan sekali isian.

Untuk pasaran Malaysia, Kia Carnival baharu didatangkan dengan lima pilihan warna untuk 7 atau 8 tempat duduk dan enam pilihan warna untuk versi 11 tempat duduk.

ENJIN 2.2 liter diesel turbo.
ENJIN 2.2 liter diesel turbo.

Model pemasangan tempatan (CKD) di Kulim, Kedah ini dijual pada harga RM199,840 (2.2D 11 tempat duduk), RM231,228 (2.2D 8 tempat duduk), RM247,228 (2.2D 8 tempat duduk - High) dan RM261,228 (2.2D 7 tempat duduk -High).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 6:12 AM