Lizam Ridzuan

Teluk Batik di Perak digegarkan dengan kehadiran peminat motosikal Yamaha serta jentera lain baru-baru ini, sempena Karnival GenBlu 2022 anjuran Hong Leong Yamaha Motor (HLYM).

Untuk rekod, pada 2018 karnival sama dianjurkan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) dan Stadium Batu Kawan pada 2019.

Pelbagai jenis motosikal Yamaha daripada retro sehingga yang terkini terbabit pada karnival yang dimeriahkan dengan kehadiran lebih 10,000 pengunjung.

Acara perasmian karnival juga 'gempak' dengan gimik helikopter membawa plak karnival berkenaan yang kemudian diserahkan kepada Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries Datuk Dr Jim Khor Mun Wei.

Selain Jim Khor, turut hadir ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Sri Ti Lian Ker dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung Syamsul Hazeman Md Salleh.

Antara acara yang disediakan buat pengunjung Karnival GenBlue 2022 ialah pertandingan motosikal 'custom' terbaik, e-sukan MotoGP, tunggang uji motosikal Yamaha, pandu uji ATV dan Yamaha Marine, ganjaran GenBlue dan pengenalan Cafe, persembahan 'stunt' atas air selain 'off-road'.

PELBAGAI jenis motosikal Yamaha.
PELBAGAI jenis motosikal Yamaha.

Pengunjung berpeluang menunggang uji skuter elektrik Yamaha E01 yang julung kali dipertontonkan kepada umum.

Malaysia antara negara yang dipilih untuk ujian sebenar proof-of-concept (PoC) skuter ini yang dikuasakan 8.1 kW yang menyamai kuasa 50 ke 125cc jentera yang menggunakan bahan api.

Selain itu, 'booth' jualan barangan Yamaha dan rakan penaja turut tersedia, malah persembahan artis, Nadia Hasnan dan Baby Shima turut memeriahkan lagi karnival.

Menerusi pembelian beg 'goodies' GenBlue ketika praacara, ia melayakkan pengunjung untuk memenangi hadiah cabutan bertuah iaitu masing-masing sebuah Yamaha Xmax 250, Yamaha MT-25 dan Yamaha R15M.

PAMERAN model retro Yamaha.
PAMERAN model retro Yamaha.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 6:50 AM