TAMPIL ciri mewah dan teknologi.
TAMPIL ciri mewah dan teknologi.
Lizam Ridzuan


BUKAN sekadar mewah, malah dengan ciri mesra alam sifar emisi menjadi elemen utama model BMW i7 2023 yang dipertontonkan ketika pameran Forwardism by BMW baru-baru ini.

Ia kini ditawarkan pada harga daripada RM707,250 (atas jalan tanpa insurans dan kenderaan elektrik (EV) sepenuhnnya ini ditawarkan menerusi satu varian iaitu xDrive60 M Sport dilengkapi dua motor elektrik yang menjana kuasa 544PS dan tork 795Nm.

Menerusi tenaga sebegini ia mampu memecut dari sifar ke 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 4.7 saat dan kelajuan maksimum ditetapkan sehingga 240km/j.

Menerusi satu pengecasan penuh bateri dengan kapasiti 105.7kWj ia boleh menjangkau jarak perjalanan sehingga 615km mengikut kiraan WLTP.

Untuk pengecasan i7 xDrive60 M Sport ditawarkan dengan unit Combine Charging Unit (

CCU) dan untuk aliran ulang-alik (AC) ia mencatatkan masa 5.5 jam untuk pengecasan penuh dan aliran terus (DC) kapasiti 10 hingga 80 peratus dalam tempoh 34 minit.

Model ini juga dengan Integral Active Steering (stereng roda belakang) sebagai ciri standard yang turut hadir dengan kemasan luaran M Sport seperti rim aloi 21 inci M Aerodynamic Style 909 warna hitam.

Ruang kabin tampil mewah dengan material kulit BMW Individual Merino dengan rona Amarone, kayu Fineline hitam, kristal Crafted Clarity, BMW Interaction Bar, stereng M balutan kulit dan tempat duduk Executive Lounge berserta konsol khusus untuk penumpang di belakang yang luas dan selesa.

Ia juga dengan BMW Theatre Screen bersaiz 31.3 inci dengan resolusi 8K untuk tontonan dan paparan lebih jelas dan menarik.

Selain itu, model ini siap dengan bumbung panorama kaca Sky Louge serta panel kawalan skrin sesentuh pada pintu belakang.

Sistem infotainmen dengan BMW Live Cockpit Plus dengan paparan melengkung bersepadu dengan kluster instrumen meter 12.3 inci dan skrin sesentuh tengah bersaiz 14.9 inci dengan BMW Operating System 8.

Untuk rekod sehingga Ogos 2023, BMW menjual lebih 1,600 unit EV di negara ini dan i7 menyumbang hampir 10 peratus daripada jualan keseluruhan.

Dalam acara Forwardism by BMW itu turut diperkenalkan usaha sama strategik antara BMW Malaysia dengan Gentari bagi memudahkan dan meluaskan akses pengecasan EV buat semua.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 7:00 AM