GAYA iX xDrive40 Sport.
GAYA iX xDrive40 Sport.
Lizam Ridzuan


MODEL kenderaan elektrik (EV) yang juga ciri mobiliti masa hadapan termasuk model terkini mula memasuki pasaran tempatan.

Antaranya BMW iX yang memperkenalkan model Kenderaan Aktiviti Sukan (SAV) terdiri daripada xDrive40 dan xDrive40 Sport, iX3 M Sport dan i4 eDrive40 (Gran Coupe).

Ia diperkenalkan bersempena NEXTGen Malaysia yang juga program pelbagai kerjasama berkaitan kemampanan dan mobiliti masa depan.

Ia membabitkan kerjasama di antara 'Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation' (MGTC), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Siemens Malaysia, Samsung Malaysia Electronics dan Glenfiddich by Willian Grant & Sons.

Ia dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

BMW iX xDrive40 dan xDrive40 Sport

Pertama kali diperkenalkan, BMW iX xDrive40 adalah SAV yang dijana oleh tenaga elektrik dengan teknologi termaju.

Rekaan hadapan dengan gril 'ginjal' yang diperbaharui, kini sebagai panel pintar, mengandungi pengesan untuk fungsi pemanduan automasi.

Ia juga datang dengan lampu hadapan dan belakang lebih tirus daripada model yang pernah dihasilkan oleh BMW.

GRAN Coupe i4 eDrive40
GRAN Coupe i4 eDrive40

Untuk varian sport, ia dilengkapi lampu LED dan BMW Laserlight. Bagi varian standard, ia didatangkan dengan Bantuan Pancaran Lampu-Tinggi.

Untuk varian sport juga, ia dilengkapi rim aloi bicolour 3D 21 inci dan multicolour 3D 22 inci.

Ia merekodkan lebar 1,695mm, sedikit kecil berbanding BMW X5 dan X6, namun datang dengan ruang kargo sehingga 500 liter.

Ciri teknologi pintar 'Shy Tech' pula terserlah dengan 'BMW Live Cockpit Professional' pada paparan meter melengkung 12.3 inci dan paparan tengah 14.9 inci.

Paling utama ialah teknologi BMW eDrive generasi kelima yang menggabungkan motor elektrik, kuasa elektronik, teknologi pengecasan dan bateri voltan tinggi untuk jarak pemanduan lebih jauh.

MODEL SAV iX3.
MODEL SAV iX3.

Dua 'synchronous motors', masing-masing satu pada gandar hadapan dan belakang bagi sistem pemanduan semua-roda pintar xDrive dengan bunyi maya, akan dijana pada bahagian luaran pada kelajuan melebihi 20km/j bagi kepekaan dan melindungi pejalan kaki.

Kuasa 326hp dan tork 630Nm membolehkan ia memecut daripada sifar ke 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 6.1 saat.

Ia juga mampu menjangkau jarak perjalanan sekitar 372 hingga 425km.

Pengecasan dengan 'BMW Wallbox' dan 'Flexible Fast Charger' membolehkan ia dicas daripada sifar ke 100 peratus dalam tempoh tujuh jam 15 minit.

Untuk bateri, jaminan lapan tahun atau 160,000km, yang mana lebih dahulu ditawarkan.

IX xDrive40
IX xDrive40

Bagi BMW iDrive, ia memiliki perisian Sistem 8 Operasi BMW untuk maklumat dan data diterima serta diproses dengan pantas.

Ia juga dilengkapi sistem keselamatan termaju seperti bantuan kekal laluan, amaran perlanggaran hadapan dan maklumat tahap kelajuan.

Untuk BMW iX xDrive40 Sport, ia datang dengan Bantuan Pemanduan Perofesional seperti bantuan kawalan lorong dan bantuan pemanduan dengan stereng.

Untuk pasaran Malaysia, BMW iX xDrive40 dijual pada harga RM352,395 manakala BMW iX xDrive40 Sport pula RM396,714 (atas jalan tanpa insurans termasuk pengecualian cukai jualan).

Selain itu, turut diperkenalkan ialah model BMW iX3 M Sport dengan harga jualan RM298,354 (Inspiring) dan RM315,608 (Impressive).

Untuk model Gran Coupe i4 eDrive40, BMW Malaysia belum mengumumkan sebarang harga setakat ini. Semua unit adalah import sepenuhnya (CBU) dari Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 7:00 AM