BARISAN New Zealand sedia sahut cabaran juara PSAS. -Persatuan Hoki Perak
BARISAN New Zealand sedia sahut cabaran juara PSAS. -Persatuan Hoki Perak
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Tampil selaku pasukan menduduki ranking paling tinggi iaitu ke-10 dunia serta satu-satunya pasukan pada edisi Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) kali ini yang bakal beraksi di pentas Olimpik Paris, New Zealand dilihat sebagai pilihan utama untuk merampas kejuaraan daripada Malaysia.

Namun ketua jurulatih Black Sticks, Greg Nicol bersikap merendah diri apabila menyatakan meskipun anak buahnya dilihat selaku pasukan pilihan, namun mereka tidak boleh memandang mudah cabaran daripada lima pasukan lain termasuk skuad negara.

Jelas Nicol, pasukannya yang tampil di PSAS adalah agak berbeza berbanding skuad yang beraksi pada kempen kelayakan Olimpik di Oman, Januari lalu di mana menyaksikan mereka berjaya melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu.

"Mungkin kami adalah pasukan ranking tertinggi dan akan beraksi di Sukan Olimpik. Tetapi kali ini kami akan mencuba beberapa pemain baharu termasuk ada tiga pemain yang belum melakukan sebarang penampilan.

"Barisan pemain yang tidak beraksi di kempen kelayakan Olimpik di Oman juga diberi peluang beraksi pada kali ini. Saya boleh katakan skuad kali ini dibarisi oleh campuran barisan pemain muda serta senior.

"Saya yakin setiap jurulatih yang membimbing pasukan mereka pada Piala Sultan Azlan Shah kali ini pastinya mahukan kemenangan dalam setiap perlawanan dan untuk itu kami perlu sentiasa berwaspada," katanya yang menyaksikan anak buahnya tewas 2-3 kepada skuad negara pada aksi persahabatan 1 Mei lalu.

Nicol mengakui barisan pemainnya berdepan cabaran untuk menyesuaikan diri dengan cuaca panas di Malaysia namun jelasnya ia akan memberi pengalaman yang baik untuk skuadnya dalam persiapan ke Paris.

"Kami sedar persiapan untuk ke Paris pastinya sangat mencabar dan kami perlu menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi termasuk cuaca. Ia adalah salah satu proses untuk setiap pemain," katanya.

New Zealand sudah melakukan 14 penampilan di Piala Sultan Azlan Shah dan memenangi kejohanan jemputan itu sebanyak dua kali iaitu pada 2012 dan 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 2:23 PM