MODEL kenderaan Coupe Aktif Sports (SAC) BMW X6 xDrive40i M Sport Baharu diperkenalkan ke dalam pasaran Malaysia dengan ciri terbaharu.
Ia kini dengan rekaan gril hadapan 'ginjal' bentuk tiga dimensi dengan pencahayaan LED (Iconic Glow), lampu hadapan adaptif LED dengan lampu nyalaan siang elemen X dan pada bahagian bampar bawah dengan salur masuk udara bentuk segi tiga dan bilah udara menegak.
Tampil lebih elemen prestasi dengan rim aloi M 747 bersaiz 22 inci, garis bumbung coupe rendah, lampu belakang baharu, skid plate pada bampar belakang dan pakej M Aerodynamics ciri standard.
Ruang kabin dengan papan pemuka BMW Curved Display menerusi paparan maklumat bersaiz 12.3 inci dan skrin sesentuh 14.9 inci selain konsol tengah diperbaharui dengan lebih banyak butang fungsi ciri sesentuh.
Untuk prestasi ia dikuasakan dengan enjin petrol 3.0 liter turbo enam silinder dengan sistem mild-hibrid 48 volt menggabungkan motor elektrik 12 PS/200 Nm serta transmisi automatik Steptronic Sport lapan kelajuan.
Ia mencatat 375 kuasa kuda (hp) pada 5,200 hingga 6,250 rpm dan tork 540 Nm dari 1,850 hingga 5,000 rpm adalah 41 PS/90Nm lebih tinggi berbanding model sedia ada.
Menerusi pacuan semua roda XDrive ia memecut dari sifar ke 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 5.4 saat.
Model ini juga dengan Suspensi Adaptive M yang merupakan ciri standard dengan opsyen mod Comfort dan Sport, bersama brek M Sport dengan angkup berwarna biru.
X6 baru boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat, (kurang 1 saat berbanding model terdahulu) serta mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.
Ia didatangkan dengan M Carbon Black, Black Sapphire, Mineral White, Manhattan, M Brooklyn Grey, Skyscraper Grey, serta Aventurine Red.
Opsyen upholsteri bagi BMW X6 baharu meliputi BMW Individual Extended Leather Trim dalam warna Black atau Tartufo.
Untuk pasaran Malaysia, BMW X6 xDrive40i M Sport Baharu ditawarkan dalam satu varian sahaja yang dijual pada harga RM 754,800 (waranti lanjutan lima tahun dan pakej servis).