Model terbaru  BMW Sports Activity Coupes, BWM X2 sDrive20i. FOTO NSTP
Model terbaru BMW Sports Activity Coupes, BWM X2 sDrive20i. FOTO NSTP
Lizam Ridzuan


BMW Group Malaysia melancarkan model dalam segmen kompak premium, Sports Activity Coupes yang pertama iaitu BMW X2 sDrive20i di Kuala Lumpur, hari ini.

Dikuasakan dengan enjin 1,998 cc Kuasa Berkembar Turbo, ia mampu menghemburkan kuasa kuda 192 PS pada 5,000 hingga 6,000 rpm serta daya tork 280 Nm pada 1,350 hingga 4,600 rpm.

Rekaan luaran dengan ciri eksklusif seperti gril ‘ginjal’ yang hanya terdapat pada model BMW 507 Roadster, logo BMW pada tiang C daripada model Coupe dan eksoz berkembar berdiameter 90 millimeter (mm) serta rim aloi 19 inci.

Ruang dalaman dengan roda stereng pelbagai fungsi dan cermin antisilau, pendingin hawa automatik dua zon, tempat duduk hadapan larasan elektrik dan ruang but daripada 470 liter hingga 1,355 liter dengan kerusi belakang dijatuhkan.

Model ini juga dilengkapi elemen BMW Connected dengan fungsi hiburan, Panggilan Kecemasan Pintar, BMW Online dan Khidmat Kawalan Jauh BMW untuk kemudahan pemandu dan penumpang pada skrin paparan sesentuh bersaiz 8.8 inci di papan pemuka.

Model X2 juga memberi pemanduan dinamik yang mampu memecut dari sifar hingga 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 7.7 saat dengan transmisi dwi-klac tujuh kelajuan.

Untuk pasaran Malaysia, hanya varian BMW X2 sDrive 20i M Sport ditawarkan dengan warna baru yang unik seperti Emas Galvanic, Biru Metalik Misano dan Oren Metalik Sunset dijual pada harga RM320,800 (atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 3:50 PM