DR ZALIHA (empat dari kanan) menerima Kunjungan Hormat Delegasi Sukma dan Para Sukma Sarawak 2024. -FOTO Majlis Wilayah
DR ZALIHA (empat dari kanan) menerima Kunjungan Hormat Delegasi Sukma dan Para Sukma Sarawak 2024. -FOTO Majlis Wilayah
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Diletakkan antara pencabar utama untuk muncul juara keseluruhan di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak membuatkan kontinjen Wilayah Persekutuan semakin bersemangat untuk berjuang pada kejohanan itu yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, perkara itu secara tidak langsung memberi tonik tambahan untuk mereka terus berusaha mencapai sasaran yang ditetapkan sebelum ini dan ia juga adalah satu penghormatan dari tuan rumah.

"Pertama sekali saya merakamkan ucapan tahniah kepada Sarawak yang bakal menganjurkan SUKMA terbesar dengan menganjurkan 37 jenis sukan dengan 488 acara sukan dipertandingkan.

"Kami berbesar hati apabila kontinjen Sarawak meletakkan kami sebagai salah satu pesaing terkuat buat Sarawak pada Ogos nanti. Kami akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan matlamat kami untuk berada di kedudukan lima terbaik menjadi kenyataan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima Kunjungan Hormat Delegasi SUKMA dan Para SUKMA Sarawak 2024 yang diketuai Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah di sini, semalam.

Selain itu, pada edisi kali ini, mereka menyenaraikan 1,016 atlet dalam senarai panjang untuk turut serta dalam kesemua 37 jenis sukan yang dipertandingkan pada Sukma kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 2:33 PM