Lizam Ridzuan


SELEPAS perkembangannya tular di pelbagai platform media, pengeluar kenderaan elektrik (EV) Tesla melancarkan jenama itu untuk pasaran Malaysia menerusi model kenderaan utiliti sukan (SUV) paling laris, Model Y.

Ia ditawarkan menerusi tiga varian iaitu model Y Pacuan Roda Belakang pada harga RM199,000, Model Y Jarak Jauh Pacuan Semua Roda Dwi-Motor (RM246,000) dan Model Y Prestasi Tinggi Pacuan Semua Roda Dwi-Motor (RM288,000).

Pengarah Serantau Tesla, Isabel Fan berkata sehingga kini mereka sudah mula menerima tempahan dan jumlahnya masih belum didedahkan namum Model Y antara yang mendapat maklum balas memberangsangkan pelanggan di Malaysia.

"Selari dengan usaha kerajaan ke arah pendekatan lebih proaktif, Tesla memasang lapan unit pengecas super di pusat membeli-belah Pavilion, Kuala Lumpur dan bakal meluaskan ke lebih banyak lokasi di seluruh negara.

"Lokasi tumpuan ialah di Johor dan Pulau Pinang yang membolehkan pengguna Tesla melakukan perjalanan dari Singapura, Malaysia dan Thailand tidak lama lagi," katanya ketika pelancaran.

Berbeza mengikut varian Model Y, dengan sekali pengecasan ia mampu menjangkau sehingga 455 kilometer (km) untuk Model Y, 533 km (Model Y Jarak Jauh) dan 514km (Model Y Prestasi Tinggi) (WLTP) dengan kelajuan maksimum 217km/j ke 250km/j.

Model ini hadir dengan ruang kargo hingga 2,100 liter dengan kapasiti muatan lima tempat duduk, bumbung panorama dan pemanduan auto pilot. Ia juga kenderaan dengan spesifikasi keselamatan terbaik diberi penarafan 5 bintang daripada NHTSA dan Euro NCAP.

CIRI prestasi dan mesra alam.
CIRI prestasi dan mesra alam.

Sebagai sebahagian komitmen Malaysia menggalakkan penggunaan pengangkutan rendah karbon dan menyokong pembangunan industri EV, pelanggan boleh menikmati pelepasan duti import dan eksais bagi pendaftaran baru kenderaan elektrik zero-emission Tesla dan pemansuhan cukai jalan 100 peratus.

Pemilik Tesla juga boleh menuntut pelepasan cukai pendapatan hingga RM2,500 bagi perbelanjaan berkaitan kos pemasangan, sewaan, pembelian termasuk sewa beli peralatan atau yuran langganan pengecas EV untuk tahun taksiran 2023.

Model Y bakal diserah kepada pelanggan pada awal 2024.

TESLA dilancarkan secara rasmi di Malaysia.
TESLA dilancarkan secara rasmi di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 7:00 AM