CIRI rekaan futuristik.
CIRI rekaan futuristik.
Lizam Ridzuan


PENAWARAN kenderaan elektrik (EV) kini semakin meriah dengan pengenalan model termaju.

Terkini, Kia EV6 Serba Baharu dilancarkan untuk pasaran Malaysia oleh Dinamikjaya Motors.

Untuk rekod, kenderaan ini dianugerahi Kereta Rekaan Terbaik Reddot 2022 dan Kereta Terbaik Eropah 2022.

Model import sepenuhnya (CBU) dari Korea ini adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) saiz pertengahan.

Ia memenuhi gaya futuristik menerusi falsafah rekaan baharu di atas Platform Modular Global-Electric (E-GMP) serba baharu.

Ia hanya didatangkan dalam satu varian iaitu GT LIne. Ia dilengkapi kuasa pacuan semua roda (AWD) menerusi kuasa bateri 77.4kWh dengan dwi-motor elektrik yang terletak pada gandar hadapan dan belakang.

Menerusi sekali pengecasan penuh, ia mampu menjangkau perjalanan sehingga 506 kilometer (km).

Menerusi sistem Unit Kawalan Pengecasan Bersepadu (ICCU) vehicle-to-load (V2L), ia juga berfungsi untuk membekalkan tenaga sehingga 3.6 kwj untuk alatan aksesori elektronik gaya hidup.

Dengan 320 kuasa kuda (hp) dan tork 605Nm, ia mampu mencapai kelajuan maksimum 185 kilometer/sejam (km/j) dan daripada 0 ke 100km/j dalam tempoh 5.2 saat.

Rekaannya berkonsepkan 'Power to Progress' dan antaranya menerusi ciri 'wajah harimau digital' pada lampu nyalaan siang (DRL).

KESELESAAN dan praktikal.
KESELESAAN dan praktikal.

Gaya crossover pula terserlah menerusi sentuhan profil sisi garisan tajam, termasuk cermin hadapan yang dicondongkan ke belakang.

Di ruang kabin pula, ia didatangkan dengan ciri termaju sistem infotainmen bersaiz 12.3 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto dengan pengecasan telefon bimbit tanpa wayar dan keterhubungan Bluetooth.

Ia juga datang dengan sistem bunyi dan pembesar suara menyeluruh Meridian bagi kualiti akustik serta hiburan sepanjang perjalanan.

Selain itu, ia mampu memuatkan kargo sehingga 520 liter dengan bonetnya terdapat ruang simpanan berkapasiti 20 liter.

Kia EV6 juga dengan penarafan lima bintang Program Pemeriksaan Kereta Baharu (NCAP) Eropah juga didatangkan dengan Sistem Bantuan Pemandu termaju (ADAS) dan tujuh beg keselamatan ciri standard.

Untuk pasaran Malaysia, Kia EV6 Serba Baharu dijual pada harga RM300,668 (harga atas jalan tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 7:00 AM