Lizam Ridzuan

 

SELAIN meriah dan unik, acara Adrenaline Rush Track Day 2023 (ART Day 2023) yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini berjaya mencatatkan sejarah tersendiri.

Ia dicatatkan Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai Perarakan Sports Car dan Supercars Terbesar dengan 650 kereta.

Acara julung kali anjuran Kelab U-Supercars oleh Utama Motors sebagai penaja utama dimeriahkan dengan kehadiran lebih 4,000 pengunjung serta pelbagai aktiviti menarik diadakan.

Pada majlis sama juga diadakan pelancaran Kelab U-Supercars dan Kelab Pekema Auto yang disempurnakan Pengarah Urusan Utama Motors Datuk Marof Khan Mohamed Idris dan Pemangku Presiden, Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) Datuk Nazari Noordin.

BERGAMBAR kenangan bersama sijil MBOR.
BERGAMBAR kenangan bersama sijil MBOR.

Penubuhan kelab ini bertujuan berkongsi minat, pengalaman dan kepakaran dimiliki dalam industri automotif melalui program sosial dan riadah berfaedah kepada masyarakat.

Selain itu ia dapat menyemarakkan semangat setia kawan dalam kalangan ahli Kelab U-Supercars melalui aktiviti seperti konvoi, pameran kereta dan sebagainya. 

Program pada petang itu dimulakan dengan semua peserta ART Day 2023

berkumpul di Paddock Selatan untuk penerangan acara dan aspek keselamatan.

Selepas itu semua kenderaan bergerak ke Paddock Utara untuk penyerahan sijil MBOR kepada pengurusan Utama Motors.

LEBIH 300 pemilik Harley-Davidson hadir.
LEBIH 300 pemilik Harley-Davidson hadir.

Untuk simbolik acara, perarakan tiga pusingan di SIC dilakukan yang turut disertai lebih 300 penunggang Harley-Davidson untuk memeriahkan acara.

Selesai program litar, diadakan di paddock pameran kenderaan dan motosikal untuk pengunjung melihat dengan lebih dekat sports car dan supercars yang sentiasa menjadi tarikan ramai.

Turut diadakan persembahan tanpa henti selama empat jam oleh Ayu Damit, Baby Shima, Fareed K Clique dan DJ Fuzz yang dihoskan Acad Raja Lawak dan Hilmi Gimik. 

LAMBORGHINI curi tumpuan.
LAMBORGHINI curi tumpuan.

Limpahan kereta pelbagai jenama hebat seperti Lamborghini, Ferrari, Porsche, Bentley, Nissan GT-R, Ford Mustang, Mercedes-AMG, BMW dan Audi antara yang memenuhi acara di ART Day 2023 ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 6:12 AM