Lizam Ridzuan

Aksi Arnold Schwarzenegger yang menunggang Harley-Davidson Fat Boy dikejar musuh dalam filem aksi 'Terminator 2' pada 1991 menjadikan motosikal berkenaan mula dikenali sebelum menarik perhatian ramai untuk memilikinya.

Harley-Davidson Fat Boy adalah jentera generasi pertama motosikal 'softail' itu dan baru-baru ini, selepas 30 tahun, Vroom berkesempatan menunggang uji motosikal generasi keenam yang diperkenalkan pada 2018 ke pasaran Malaysia.

Melihat kepada bentuk, ia masih mengekalkan DNA yang sama dengan versi sebelumnya iaitu dengan gaya cruiser klasik dan moden.

POSISI menunggang santai.
POSISI menunggang santai.

Ia dihiasi dengan banyak elemen krom satin pada keseluruhan motosikal seterusnya menyerlahkan ciri premium.

Lampu hadapan LED dengan bentuk bulat turut dilengkapi lampu nyalaan siang (DRL).

Paparan meternya terletak di atas tangki bahan api. Ia gabungan analog dan digital bersaiz lima inci, nampak ringkas, namun lengkap dengan maklumat diperlukan penunggang.

KEMASAN krom serlah rekaan.
KEMASAN krom serlah rekaan.

Ia seperti meter kelajuan, odometer, tahap bahan api dan baki bahan api dengan jarak perbatuan yang memudahkan penunggang merancang perjalanan.

Besi pemegang lebar memperlihatkan Fat Boy ini sebagai 'cruiser' sejati.

Suspensi hadapan pula seakan-akan bersepadu dengan fork. Ia dilingkari dengan penutup menjadikannya tampak seakan lebar dari arah hadapan.

Ciri krom diserlahkan lagi pada enjin berkembar-V dengan logo 114 sebagai kapasiti enjin.

Antara ikon pada jentera ini ialah rim Lakester cakera bertutup penuh pada hadapan dan belakang.

FAT Boy kekal ciri klasik.
FAT Boy kekal ciri klasik.

Ia juga dilengkapi pelana tempat duduk dua peringkat.

Selain itu, ia disertakan dengan pelantar meletak kaki pada kedua-dua bahagian dan ini pada pandangan penulis memberi kelebihan buat yang bertubuh tinggi.

Bahagian belakang pula berciri ringkas, ia lengkap dengan lampu berhenti yang direka nipis.

Lampu membelok pula LED berbentuk bulat.

METER gabungan analog dan digital.
METER gabungan analog dan digital.

Jentera ini dipacukan dengan tali sawat dan ia tampil lebih kemas. Dwiekzosnya menambah kegarangan motosikal ini.

Harley-Davidson Fart Boy dikuasakan dengan enjin 1,868cc Milwaukee-Eight® 114 V-Twin. Ia menjana 78.7 kuasa kuda (hp) dan tork 155Nm dengan sistem 'Electronic Sequential Port Fuel Injection' (ESPFI).

Melalui kotak gear klac enam kelajuan, limpahan kuasanya tidak terlalu drastik, mudah dikendalikan dan alirannya tenaganya sangat lancar terutama untuk perjalanan jarak jauh.

Posisi menunggang yang santai memberikan kelebihan untuknya meluncur tanpa sebarang kekurangan tenaga.

HARLEY-DAVIDSON Fat Boy serlah karakter. cruiser ikonik
HARLEY-DAVIDSON Fat Boy serlah karakter. cruiser ikonik

Malah, ketika melewati selekoh, penulis terasa yakin kerana tayar belakangnya lebar.

Tayar hadapannya bersaiz 160/60R18, 70V, BW. Tayar belakang pula bersaiz 240/40R18, 79V, BW.

Tayar ini jenama Michelin yang dikeluarkan khusus buat Harley-Davidson.

Suspensi hadapannya membabitkan fork cartridge untuk redaman dan menampung berat lebih baik.

REKAAN cruiser premium.
REKAAN cruiser premium.

Pada bahagian belakang, ia dilengkapi penyerap hentakan tunggal boleh laras bagi pengendalian selekoh yang stabil.

Ekzos berkembar ciri DNA Harley-Davidson menghasilkan bunyi standard yang baik untuk kejiranan dan pengguna jalan raya yang lain.

Jika penunggang mahukan yang lebih garang, ia boleh naik taraf.

Satu perkara yang pasti, kelajuan bukan faktor utama untuk menunggang Harley-Davidson sebaliknya lebih kepada gaya hidup permotoran.

ENJIN berkembar-V 1,868cc.
ENJIN berkembar-V 1,868cc.

Meskipun seberat 319 kilogram, sebaik ia bergerak, penulis tidak merasakan bebanan itu malah meluncur dengan lancar dan sudah pasti laluan lebuh raya atau laluan desa yang luas dan lurus memberikan kenikmatan tunggangan. Motosikal ini agak rendah kerana dengan jarak kelegaan jalan raya sekitar 115 milimeter (mm), penunggang perlu berhati-hati jika melayan selekoh. Bimbang ia terkena pada pelantar kaki dan ekzos.

Secara keseluruhan, Harley-Davidson Fat Boy adalah model cruiser premium dengan karakter prestasi dan posisi tunggangan selesa.

Ia juga dilengkapi ciri seperti penghidup enjin tanpa kunci, brek cakera dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), hadapan dan belakang untuk memberhentikan jentera dengan lebih stabil.

Selain itu, ramai pembeli motosikal ini melakukan modifikasi pada bahagian tertentu untuk tampil lain daripada model standard.

RIM ikonik cakera penuh.
RIM ikonik cakera penuh.

Banyak aksesori tambahan yang boleh dipilih dalam pasaran bagi menyerlahkan lagi gaya jentera Harley-Davidson masing-masing.

Dengan kapasiti tangki bahan api 18.9 liter, jentera ini boleh bergerak sekitar 250 hingga 300 kilometer, bergantung kepada corak tunggangan.

Untuk pasaran Malaysia, Harley-Davidson Fat Boy 114 dijual pada harga RM122,900 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan dua tahun pengeluar tanpa had perbatuan ditawarkan.

PELANA selesa berketinggian 675mm.
PELANA selesa berketinggian 675mm.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 6:45 AM