Lizam Ridzuan


BENTUKNYA yang lasak dan ranggi menyerlahkan Harley-Davidson Pan America 1250 Special Serba Baharu sebagai jentera jelajah pengembaraan (Touring Adventure).

Walaupun sering dibandingkan dengan BMW R 1250 GS, namun jentera ini mempunyai kelebihan tersendiri daripada segi keupayaan dan spesifikasi.

Kerana keunikannya, pelakon filem Aquaman, Jason Mamoa dilantik sebagai duta jenama ini kerana pelakon berkenaan juga gemarkan ciri serta konsep yang ditawarkan motosikal terbabit.

Vroom berkesempatan menunggang uji Harley-Davidson Pan America 1250 Special Serba Baharu yang dilancarkan tahun lalu untuk pasaran tempatan.

Melihat kepada rekaan, bahagian hadapannya diserlahkan dengan fairing seakan-akan model Road Glide dilengkapi cermin pelindung angin boleh laras secara manual empat ketetapan bagi keselesaan tambahan ketika menunggang pada kelajuan tinggi atau hujan.

Untuk varian ini, ia datang dengan lampu utama dan lampu selekoh LED 'Daymaker'. Ia adalah lampu selekoh yang memberi pencahayaan lebih tinggi melalui jalan gelap berselekoh.

SESUAI untuk perjalanan jauh.
SESUAI untuk perjalanan jauh.

Ia juga datang dengan tangki bahan api berkapasiti 21.2 liter. Model ini juga dilengkapi suspensi hadapan dan belakang elektronik separa aktif yang akan merendahkan jentera ketika enjin dihidupkan dan kembali ke posisi asal sebaik bergerak.

Paparan meter TFT skrin sesentuh bersaiz 6.8 inci dengan pelbagai maklumat perjalanan turut tersedia. Malah, ia juga boleh disambungkan kepada telefon pintar menerusi keterhubungan Bluetooth serta fungsi navigasi dengan aplikasi iOS atau Android.

BUTANG larasan untuk meter.
BUTANG larasan untuk meter.

Motosikal ini dijana enjin baharu 1,252cc Revolution Max, DOHC, sejukan cecair dua silinder. Ia mampu menjana 150 kuasa kuda (hp) dan tork 127Nm menerusi kotak gear enam kelajuan.

Pertama kali menunggang enjin moden untuk Harley-Davidson ini, penulis dapat merasakan ia berbeza daripada model lain yang pernah ditunggang sebelum ini.

Jentera ini lebih ringan dan responsif setiap kali pendikit dipulas.

Penulis juga menunggang di lebuh raya dari Tanjung Malim ke Kuala Lumpur dalam cuaca hujan lebat, namun yakin dengan prestasinya.

Jentera ini ditawarkan dengan lima mod pemanduan iaitu Road, Sport, Rain, Off-Road dan Off-Road Plus.

PANEL meter TFT 6.8 inci.
PANEL meter TFT 6.8 inci.

Secara keseluruhan, jentera ini didatangkan dengan pelbagai ciri terbaharu dan untuk varian ini, ia mempunyai kelebihan daripada segi spesifikasi.

Antaranya ialah Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), tongkat tengah serta pedal brek belakang pelbagai posisi.

Pada pandangan penulis, jentera ini sesuai buat mereka yang bersaiz fizikal tinggi untuk merasai tunggangan dengan lebih seronok sama ada di atas jalan raya biasa atau lasak.

Varian Special didatangkan dengan roda tanpa tiub 'Laced' iaitu jejari keluli tahan karat yang dimasukkan pada bahagian luar rim.

Isian penuh tangki bahan api membolehkan ia bergerak sejauh 400 kilometer, bergantung kepada corak dan gaya tunggangan.

Empat pilihan warna ditawarkan iaitu hijau, oren-putih, kelabu dan hitam.

Untuk pasaran Malaysia, Harley-Davidson Pan America 1250 Special Serba Baharu dijual pada harga RM125,900 (atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 6:50 AM