Sarly Adle Sarkum.
Sarly Adle Sarkum.
Lizam Ridzuan


Kuala Lumpur: Honda Malaysia bakal melancarkan empat model baharu untuk tahun 2023 dengan sasaran jualan sebanyak 80,000 unit.

Presiden dan Ketua Pegawai Operasinya, Sarly Adle Sarkum berkata, tiga daripada model itu adalah serba baharu dan satu model peningkatan bakal diperkenalkan pada suku ketiga 2023.

"Honda Malaysia bakal memperkenalkan model dari segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) kecil, yang pertama daripada pengeluar kenderaan Jepun untuk pasaran tempatan dengan rekaan yang menyerlah, ciri teknologi termaju, praktikal dan selesa.

"Tahun 2023 juga menyaksikan sambutan ulang tahun ke-75 Honda dan menerusi pelancaran model-model menarik dengan tiga asas utama iaitu ciri termaju, premium dan sporty bakal mengukuhkan lagi jenama ini," katanya, baru-baru ini.

Honda Malaysia juga akan memajukan lagi teknologi hibrid untuk pasaran negara ini selepas menjadi antara yang terawal memperkenalkan ciri itu 19 tahun lalu dengan Integrated Motor Assist (IMA) ke Sport Hybrid i-DCD dan yang terkini teknologi e:HEV.

Menurutnya, elektrifikasi adalah trend global dan ciri mobiliti masa hadapan industri automotif dan Honda turut tidak ketinggalan menjalankan usaha pembangunan kenderaan elektrik (EV) secara progresif.

"Honda percaya teknologi hibrid adalah pendekatan yang tepat buat masa ini di Malaysia dan akan memastikan keperluan ciri yang paling berteknologi dan praktikal kepada pelanggan sebelum memperkenalkan EV sepenuhnya nanti," katanya.

Untuk rekod, Honda Malaysia menjual 80,290 unit kenderaan tahun lalu iaitu peningkatan 51 peratus daripada 2021 dengan 11.1 peratus penguasaan pasaran untuk TIV 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 2:09 PM