HONDA CR-V serba baru sudah dilancar.
HONDA CR-V serba baru sudah dilancar.
RUANG dalaman premium dan selesa.
RUANG dalaman premium dan selesa.
ENJIN baru 1.5L VTEC dengan pengecas turbo.
ENJIN baru 1.5L VTEC dengan pengecas turbo.
Lizam Ridzuan

Pelbagai ciri terkini dilengkapi untuk model Honda CR-V serba baru yang dilancarkan pertengahan minggu lalu untuk pasaran Malaysia termasuk rekaan yang lebih lebar, luas dan tinggi.

Generasi kelima itu juga penanda aras bagi rekaan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenama Honda pada masa akan datang, turut menawarkan rekaan baru luaran dan dalaman serta teknologi keselamatan terkini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Katsuto Hayashi berkata, model itu melangkaui jangkaan pelanggan dengan teknologi dan enjin termaju menjadikannya SUV paling laris dalam segmennya.

“Honda Sensing adalah ciri keselamatan utama yang ditawarkan dan Malaysia adalah negara Asia Tenggara pertama diperkenalkan bersama model CR-V serba baru ini,” katanya pada pelancaran model itu, baru-baru ini.

Tujuh ciri Honda Sensing adalah Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC), Low-Speed Follow (LSF), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Brek Pengurangan Pelanggaran (CMBS), Amaran Perlepasan

Laluan (LDW), Pengurangan Perlepasan Jalan Raya (RDM) dan Sistem Bantu Kekal Laluan (LKAS).

Sebanyak empat varian ditawarkan iaitu 2.0L 2WD yang pada harga RM142,400, 1.5L Turbocharged 2WD (RM155,700), 1.5L Turbocharged 4WD (RM161,600) dan 1.5L Turbocharged Premium 2WD (RM167,700).

Ia boleh didapati di 91 cawangan pengedar Honda seluruh negara dan didatangkan dalam lima pilihan warna iaitu hijau tua (warna baru kenderaan Honda), putih mutiara dan biru mutiara (warna baru CR-V) serta perak dan kelabu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 8:52 AM