Lizam Ridzuan


Kuala Lumpur: Honda Malaysia bakal melancarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam segmen-A menerusi pengenalan Honda Winsome Runabout Vehicle (WR-V) Serba Baharu.

Tempahan untuk model berkenaan juga kini dibuka dengan bayaran hanya RM500.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hironobu Yoshimura berkata, ia adalah jenama kenderaan Jepun dan bukan nasional yang pertama memasuki pasaran SUV kecil itu di negara ini.

"Honda WR-V Serba Baharu bakal dilancarkan pada suku ketiga tahun ini yang bakal menawarkan pengalaman pemanduan unik menerusi kenderaan yang bergaya, ciri teknologi termaju, sistem keselamatan terbaik, prestasi enjin, jarak kelegaan jalan yang tinggi serta rekaan yang sporty," katanya dalam kenyataan.

Sesi pandu uji Honda WR-V untuk media di Bangkok.
Sesi pandu uji Honda WR-V untuk media di Bangkok.

Dimensi Honda WR-V Serba Baharu dengan 4,060 milimeter (mm) panjang, 1,780 mm (lebar) dan 1,608 mm (tinggi) serta jarak kelegaan jalan 207 mm adalah saiz yang sesuai bagi kegunaan bandar yang praktikal.

Ciri lain dengan varian RS, gril hadapan rekaan terbaharu dan rim aloi dwi-tona bersaiz 17 inci dan menyerlahkan lagi elemen 'coupe' dengan pembuka pintu belakang bergaya.

Ia dilengkapi dengan enjin 1.5L DOHC i-VTEC menjana kuasa 121PS dan tork maksimum 145Nm dengan Transmisi CVT teknologi G-design untuk keseimbangan antara prestasi dan bahan api.

Ciri keselamatan dengan Honda Sensing dan Honda LaneWatch menambah keyakinan pemanduan serta kekal berhubung dengan Honda Connect menerusi telefon pintar adalah ciri teknologi inovatif pada model ini.

Honda WR-V Serba Baharu ini boleh didapati di pengedar sah Honda terpilih bermula 16 Jun sehingga 9 Julai hadapan dan buat pelanggan yang mahu melakukan tempahan boleh melayari prebook.honda.com.my atau di 101 pengedar sah Honda di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 12:40 PM