KEMASAN terkini Honda CR-V.
KEMASAN terkini Honda CR-V.
Lizam Ridzuan

Sebagai Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) serba guna Honda, CR-V yang turut membawa maksud 'Comfortable Runabout Vehicle' adalah model pemasangan tempatan (CKD) pertama yang diperkenalkan oleh Honda Malaysia pada 2003.

Ia menerima sambutan sangat menggalakkan dengan membawa aras baharu kenderaan SUV dan terjual melebihi 104,000 unit sehingga Oktober 2020.

Untuk menampilkan ciri lebih segar, Honda CR-V Baharu diperkenalkan ke pasaran tempatan dengan teknologi keselamatan termaju.

Ia ditawarkan dengan tiga varian melalui 2.0L 2WD, 1.5L TC-P 2WD serta yang terbaharu dan teratas, 1.5L TC-P 4WD.

Model ini tampil dengan gril kemasan hitam serta lampu hadapan signatur Honda dan bampar hadapan dengan gaya sayap baharu 'fascia' krom.

Bahagian belakang cukup mempersona dengan krom gelap, lampu belakang 'smoke', bampar dengan ekzos berkembar dan rim aloi 18 inci dwi-tona rekaan terkini.

Ruang dalaman diperkemaskan dengan gaya dan kelas tersendiri, namun mengekalkan keselesaan.

Konsol hadapannya dilengkapi dua sambungan USB.

Menambah elemen keselesaan terutama pada bahagian konsol, ia menyediakan dua pengecas USB membolehkan pemandu dan penumpang menggunakannya pada masa yang sama.

Honda CR-V ini juga didatangkan dengan pintu kargo automatik bebas-tangan, ia boleh dibuka dengan pergerakan kaki pada bawah bampar.

Menerusi ciri termaju, CR-V didatangkan juga dengan penghidup enjin kawalan jauh membolehkan pemandu menghidupkan enjin tanpa perlu membuka pintu kereta dan menghidupkan penyaman udara.

Cermin sisi juga boleh dilipat dengan kaedah sama.

RUANG dalaman kekal gaya dan selesa.
RUANG dalaman kekal gaya dan selesa.

Sebagai model pertama yang menerima Honda Sensing untuk keselamatan dan perlindungan tambahan, ia kini lengkap dengan lapan ciri utama.

Antaranya Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC), Ikut Kelajuan Rendah (LSF), Sistem Brek Mitigasi Perlanggaran (CMBS) dan Amaran Keluar Lorong (LDW).

Ciri keselamatan dengan ciri baharu seperti Peringatan Tali Pinggang Belakang untuk menyedarkan pemandu jika penumpang tidak mengenakan pemakaian tali pinggang keledar turut tersedia.

HONDA Lane Watch.
HONDA Lane Watch.

Honda CR-V yang juga dianugerahkan penarafan lima bintang bagi Program Penilaian Kereta baru (NCAP) ASEAN yang menawarkan keselamatan terbaik sebagai ciri standard seperti Honda LaneWatch, enam beg keselamatan, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) dan Bantuan Pengendalian Pantas (AHA).

CR-V baharu dengan pilihan enjin 1.5L VTEC pengecas turbo menjana kuasa 193PS dan tork 243Nm.

Varian teratas dilengkapi sistem 4WD untuk prestasi pemanduan lebih baik dan memaksimumkan penjimatan bahan api.

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Perak Metalik Lunar, Merah Mutiara Passion, Steel Metalik Modern, Olive Metalik Gelao dan Putih Mutiara Platinum.

Untuk pasaran Malaysia, Honda CR-V ditawarkan dengan lima pilihan warna melalui tiga varian dijual pada harga RM139,912 (2.0L 2WD), RM157,615 (1.5L TC-P 2WD) dan RM162,910 (1.5 TC-P 4WD) (semua harga atas jalan tanpa insurans dengan pengecualian cukai jualan).

REKAAN belakang dan hadapan dengan ‘fascia’ krom.
REKAAN belakang dan hadapan dengan ‘fascia’ krom.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 6:37 AM