Lizam Ridzuan


SEKALI pandang, rekaannya kelihatan pelik tapi unik, malah ramai yang menggelarnya sebagai 'jet ski', namun tak kurang mata yang akan memandang setiap kali ia melintas.

Itu penangan Yamaha Maxam CP250 yang Vroom berpeluang menunggang ujinya baru-baru ini.

Ia adalah unit khas yang dibawa masuk Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) sebagai pengedar utama jenama ini di Malaysia.

Berdasarkan sejarah, konsep skuter ini mula diperkenalkan pada 2005 dengan Maxam 3000 adalah ciri 'tanderm cruiser' yang mula dijual di pasaran Jepun pada 2006.

Untuk model ini, ia keluaran 2016 dengan warna edisi ulang tahun ke-10 model itu.

BAHAGIAN belakang dengan ruang but.
BAHAGIAN belakang dengan ruang but.

Reka bentuknya, terutama pada bahagian hadapan, umpama kereta api laju Jepun dengan lampunya pada muncung hadapan.

Panjang skuter tu 2,365 milimeter (mm), lebar 820mm dan berketinggian 1,060mm serta jarak kelegaan tanah pada sekitar 105mm.

Rekaan pelana seakan-akan sofa empuk termasuk penyandar untuk penunggang dan pembonceng.

Turut disertakan elemen krom pada besi pemegang, termasuk cermin pandang belakang.

Pada besi pemegang juga terdapat suis menghidupkan enjin, lampu kecemasan pada sebelah kanan dan suis lampu dan brek tangan di sebelah kiri.

Paparan meter pula digital penuh dengan penunjuk bahan api, speedometer, rpm dan waktu serta indikasi lampu isyarat di bahagian tepi.

LACI simpanan hadapan.
LACI simpanan hadapan.

Pada bahagian papan pemuka, terdapat ruang simpanan dan kunci.

Tempat meletak kaki juga luas dengan beberapa kedudukan kaki boleh disesuaikan mengikut kesesuaian.

Rekaan belakang skuter ini pula dengan ruang but dan bentuk seakan-akan kereta Cadillac keluaran 1950-an dengan rekaan lampu belakang melintang daripada LED dan lampu isyarat menegak.

Ruang simpanan bawah tempat duduk hanya boleh memuatkan satu topi keledar bersaiz separuh dan didatangkan dengan suis serta lampu untuk kemudahan pada waktu malam.

Untuk tunggangan, skuter ini dijana dengan enjin 249 cc silinder tunggal sejukan cecair DOHC dan transmisi automatik yang menjana kuasa kuda 20HP pada 7,500rpm dan tork 22Nm pada 2,200rpm.

Penulis mencuba kelajuan maksimum sehingga mencecah 135km/j sahaja sebelum 'cut-off', namun kuasa yang responsif terutama ketika memecut atau memintas di lebuh raya dapat dirasakan.

Melepasi kesesakan lalu lintas di bandar juga berjalan lancar, namun faktor kepanjangan jentera mengehadkan usaha untuk 'mencilok'.

PANEL meter digital.
PANEL meter digital.

Melayan selekoh juga seronok dengan faktor jentera yang rendah menjadikan ia lebih stabil, namun jika terlebih mengiring pasti kerangka menyentuh jalan.

Fork teleskopik hadapan dan unit lengan buai belakang menyerap tekanan dengan baik meskipun ketika melintasi garisan putih berturap terasa sedikit gegaran adalah normal untuk skuter dengan saiz tayar 120/70-13 hadapan dan 130/70-13 belakang.

BREK cakera hadapan
BREK cakera hadapan

Secara keseluruhan, skuter Yamaha Maxam CP250 ini menawarkan mobiliti gaya hidup dengan rekaan unik dan pelik, namun elegan serta mewah.

Posisi menunggang santai namun sedikit rendah.

Satu tangki penuh bahan api 14 liter membolehkan ia bergerak sejauh 200km namun bergantung kepada corak dan gaya tunggangan masing-masing.

Bagi sistem brek, ia dilengkapi cakera hadapan dan belakang, namun ia tidak dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) manakalan berat keseluruhan skuter ini sekitar 200kg.

Ketinggian pelana 655mm memberikan kelebihan buat yang berketinggian sederhana, namun ada sedikit cabaran mengenai kepanjangan saiz jentera.

Penulis juga berpendapat ia boleh juga digelar seakan-akan skuter limosin dengan sentuhan rekaan retro futuristik tampil mewah dan bergaya unik.

Harga jualan Yamaha Maxam CP250 di Jepun sekitar RM28,000 dan unit ini tidak dijual di negara kita.

Ia hanya ditawarkan untuk tunggang uji oleh HLYM kepada media permotoran tempatan.

POSISI menunggang santai.
POSISI menunggang santai.

Namun jika ada yang berminat, mungkin boleh mendapatkannya melalui pengimport motosikal terpakai (grey importer).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 7:01 AM
 ELEMEN krom.
ELEMEN krom.
Skuter
Skuter