SINGGAH di Brunei sebelum ke Sabah.
SINGGAH di Brunei sebelum ke Sabah.
Lizam Ridzuan


BUAT julung kalinya Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) menganjurkan Karnival GEN BLU 2023 di Kepulauan Borneo dan kali ini Kota Kinabalu, Sabah menjadi lokasi pilihan.

Untuk tampilkan keunikan, satu konvoi motosikal dianjur membabitkan pemilik, pengedar dan media menerusi program Trans Borneo 2023 dari Kuching ke Brunei dan Sabah.

Seramai 40 penunggang pelbagai jenis model seperti MT-15, MT-07, MT-09, Y16ZR, Nmax, XMax, TMax, YZF-R15, YZF-R25 dan Tracer GT menyertai konvoi.

Penulis disediakan dengan model Y16ZR dan bertukar motosikal di sepanjang perjalanan bersama media lain.

Perjalanan tiga hari dimulakan di Kuching, Sarawak dan acara pelepasan diadakan di pengedar Yamaha terbesar di Malaysia iaitu Ho Hin Motors.

Hari pertama membabitkan perjalanan ke Sri Aman dan Sibu meliputi perjalanan 400 kilometer (km) menggunakan Lebuhraya Pan Borneo.

Konvoi singgah di stesen minyak untuk setiap 100km bagi isian bahan api terutama buat motosikal berkapasiti 160cc kerana tangkinya tidak besar untuk jarak sekitar 120km sahaja bagi setiap isian penuh.

MERENTASI laluan Trans Borneo 2023.
MERENTASI laluan Trans Borneo 2023.

Dikawal empat marshal HLYM serta penunggang tempatan yang sudah biasa dengan laluan di sana melancarkan perjalanan namun apa yang penting ialah fokus mental dan fizikal perlu kuat kerana selain jarak yang jauh cuaca juga agak panas.

Selepas berhenti makan tengah hari di Sri Aman perjalanan diteruskan melalui jalan yang sememangnya menyajikan pemandangan berbeza terutama konsep rumah panjang moden serta kehidupan masyarakat setempat.

Perjalanan mencabar dengan laluan dua lorong menjadi satu malah ada ketikanya laluan menjadi kontra menjadikan situasi sedikit cemas apabila tiba-tiba kenderaan dari arah hadapan datang sama lorong adalah pengalaman tidak dapat lupakan.

Peserta tiba di Sibu jam 6.30 petang dan selepas makan malam terus ke hotel penginapan di hadapan Sungai Rejang.

Keesokan hari konvoi bermula di Sibu dan dilepaskan di pusat pengedar Yamaha di bandar itu.

Hari kedua terasa cukup panjang dengan jarak meliputi lebih 400km menuju ke Miri dan penulis berpeluang menunggang model MT-09 dengan laluan lebuh raya baharu melancarkan perjalanan.

PEMENANG-pemenang hadiah utama cabutan bertuah.
PEMENANG-pemenang hadiah utama cabutan bertuah.

Konvoi tiba di Miri jam 6.30 petang untuk makan malam sebelum ke hotal bagi meneruskan perjalanan merentasi Brunei pada keesokan harinya.

Bermula di di Miri, penulis teruja kerana berpeluang menunggang ke negara Brunei yang pertama kali dikunjungi dan konvoi ke pusat Imigresen Sungai Tujoh untuk urusan passport dan dokumentasi serta melepasi sempadan dengan baik.

Di Brunei perjalanan lancar, tidak banyak kesesakan jalan raya dan perjalanan diteruskan ke Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien di Temburong dengan kepanjangan 30km merentasi Teluk Brunei seterusnya ke Lawas dan Sipitang dan ke Kota Kinabalu dengan catatan perjalanan sejauh 420km.

Paling mencabar laluan tidak berturap dan cuaca hujan pada hari terakhir perjalanan.

Peserta Yamaha Trans Borneo tiba di Kota Kinabalu jam 8 malam dengan baik dan selamat dan keesokan harinya ke Karnival GEN BLU 2023 di Kompleks Sukan Likas.

Pelbagai acara menarik diadakan seperti pertandingan motosikal custom terbaik, konsert band Estranged, pakaian terbaik untuk Dewi Yamaha, sesi tunggang uji, persembahan stunt motosikal, pameran motosikal perlumbaan Yamaha dan reruai GEN BLU untuk jualan barangan, pengenalan mata ganjaran dan Cafe dan reruai rakan peniaga HLYM.

Peserta yang membeli Beg Goodies Karnival GEN BLU berpeluangmemenangi cabutan bertuahseperti motosikal Yamaha XMax, R25, MT-15, Yamaha EGO Gear dan EZ115.

Turut dilancarkan model pengembaraan pertama HLYM di Malaysia iaitu Yamaha Tenere 700 sebagai motosikal segmen pengembaraan 'on-and-off road' dikuasakan enjin 689cc, dua silinder sejukan cecair DOHC dengan kuasa 73PS pada 9,000 rpm dan tork 68Nm pada 6,500rpm.

Untuk pasaran Malaysia, Yamaha Tenere 700 Baharu 2023 adalah versi pemasangan tempatan (CKD) sudah dibuka untuk tempahan ditawar pada harga RM69,988 (atas jalan tanpa insurans) dan akan berada di pasaran pada awal 2024.

Karnival GEN BLU dihadiri lebih 10,000 pengunjung dari serata Sabah.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries (HLI), Datuk Dr Jim Khor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 6:07 AM