Lizam Ridzuan

IA adalah kenderaan aktiviti sukan (SAV) yang paling besar untuk siri X BMW dan diperkenalkan ke pasaran tempatan pada 2019 menerusi import sepenuhnya (CBU).

Kemudian pada 2021, BMW X7 xDrive40i Pure Excellence Baharu diperkenalkan dengan ciri pemasangan tempatan (CKD).

Vroom berpeluang memandu uji model itu baru-baru ini bagi menilai prestasi, ciri dan ruang yang ditawarkan.

Melihat kepada rekaan luaran, ia seakan-akan model X5 namun tampil lebih besar, tinggi dan panjang.

Antara ciri diketengahkan ialah elemen signatur gril ginjal aktif yang akan terbuka sebaik enjin dihidupkan dengan logo BMW yang besar bagi disesuaikan dengan saiz bonet.

BAHAGIAN belakang kemasan sporty.
BAHAGIAN belakang kemasan sporty.

Selain itu, lampu utama BMW Laserlight pula sangat jelas dan mampu mencapai jarak 600 meter.

Lampu kabus LED dan bantuan lampu tinggi automatik turut ditawarkan sebagai ciri standard.

Roda aloi 21 inci bercorak Y dengan tayar 'run-flat' ditawarkan sebagai ciri standard.

Turut tersedia ialah tangga sisi, pintu but 'Comfort Access' kuasa elektrik sepenuhnya dan dua paip ekzos lingkaran berbentuk segi empat.

Ruang dalaman pula diserikan dengan kemasan premium gaya Eropah 'Crafted Clarity' buatan tangan yang dipotong dengan berlian gabungan kayu, perak dan kulit.

Konsol tengah pula menempatkan tombol gear, butang penghidup enjin dan butang fungsi Kawalan iDrive.

Ia juga didatangkan dengan sistem infotainmen BMW Live Cockpit Profesional dengan Sistem Operasi BMW 7.0 bersaiz 12.3 inci.

PAPAN pemuka kemasan mewah.
PAPAN pemuka kemasan mewah.

BUMBUNG panorama luas.
BUMBUNG panorama luas.

Kluster meter instrumen digital turut disertakan BMW Head-Up Display bagi kemudahan pemandu untuk lebih fokus kepada pemanduan.

Model ini juga didatangkan dengan Bantuan Peribadi Pintar BMW dengan fungsi arahan suara dan Kawalan Gestur BMW pada sistem infotainmen.

SAV ini tampil luas dengan konfigurasi tujuh tempat duduk dengan baris ketiga boleh memuatkan dua individu dewasa.

Paling menarik, pada pandangan penulis, semua kerusi kulit Vernasca ini adalah larasan elektrik.

Ia sekali gus memudahkan pergerakan keluar masuk penumpang baris ketiga.

Kemudahan lain yang tersedia ialah kunci digital BMW, pengecasan tanpa wayar untuk telefon pintar, pengecas USB serta keterhubungan aplikasi Apple CarPlay.

Untuk prestasi, ia dijana enjin 2,998cc petrol TwinPower Turbo enam silinder selari gabungan pengecas turbo TwinScroll serta transmisi kotak gear 8-kelajuan Steptronic Sport.

ENJIN 3.0 liter TwinTurbo.
ENJIN 3.0 liter TwinTurbo.

Ia mampu menjana 340 kuasa kuda (hp) pada 5,500 hingga 6,500rpm dan tork 450Nm pada 1,500 hingga 5,200rpm.

Ia juga mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 245 kilometer/sejam (km/j).

Untuk lebih kepuasan perjalanan, empat mod pemanduan boleh dipilih iaitu Eco Pro, Comfort, Adaptive dan Sport.

Menerusi sistem pacuan semua roda xDrive pula, ia memaksimumkan cengkaman, kelincahan, kestabilan dan pengendalian yang dihubungkan dengan Kawalan Kestabilan Dinamik.

Selain prestasi, ia datang bersama sistem keselamatan dan kemudahan terkini dengan Bantuan Mengundur selain fungsi kamera 360 darjah.

Ia juga lengkap dengan paparan tiga dimensi bagi memasuki ruang parkir atau laluan yang sempit.

Secara keseluruhan, model SAV X7 ini bukan sahaja menawarkan ciri premium dan keselesaan malah dengan sistem keselamatan terbaik.

RUANG dalaman ciri fleksibel.
RUANG dalaman ciri fleksibel.

Ia antaranya Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Bantuan Brek, Isofix, sembilan beg keselamatan, Sistem Kunci Pusat dengan pengesan perlanggaran dan immobiliser elektronik.

Menerusi tangki bahan api 80 liter, ia mampu menjangkau perjalanan lebih 500km bergantung kepada permukaan jalan, gaya pemanduan dan muatan.

Meskipun dengan tujuh tempat duduk penuh, masih ada ruang simpanan pada bahagian but dan ia antara kelebihan model ini.

Saiznya yang besar menyerlahkan penampilan di jalan.

Ia didatangkan dengan lima pilihan warna luaran iaitu Hitam Sapphire, Kelabu Sophisto, Biru Phytonic, Metalik Manhattan dan Putih Mineral.

Untuk pasaran Malaysia, BMW X7 xDrive40i Pure Excellence Baharu dijual pada harga RM657,235 (atas jalan tanpa insurans) dengan pengecualian cukai jualan dan insentif Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 6:30 AM
GAYA SUV bersaiz penuh X7.
GAYA SUV bersaiz penuh X7.