Lizam Ridzuan

SEMEMANGNYA barisan elit ‘7 series’ untuk kenderaan BMW sedan direka untuk kegunaan golongan pengurusan selain VIP dalam urusan rasmi dan seharian mereka.

Tidak hairanlah model mewah ini terus ditambah baik daripada segi rekaan dan ciri keselesaan terbaik bagi mobiliti lebih sempurna.

Malah ia kini dilengkapi ciri Kenderaan Plug-In Hibrid Elektrik (PHEV).

Vroom baru-baru ini berkesempatan memandu uji sambil merasai ‘kelazatan’ ditawarkan model BMW 740Le xDrive melalui varian ‘Pure Excellence’.

REKAAN tampil sporty.
REKAAN tampil sporty.

Model 7 series baharu ini diperkenalkan pada suku ketiga tahun lalu ke pasaran tempatan dan ia sudah memasuki generasi keenam sejak diperkenalkan pada 1977.

Untuk rekaan luaran, ia kini tampil lebih menyerlah dengan bentuk gril ‘ginjal’ yang semakin membesar dan menegak dengan bidai aktif (active shutters) bersaiz 95 milimeter (mm) berbanding dahulu 82mm.

Pada bahagian bampar hadapan, walaupun tidak didatangkan dengan lampu kabus, lampu hadapan hadir dengan rekaan baharu lebih tirus dan memanjang dengan teknologi cahaya laser sebagai ciri reka bentuk model mewah jenama itu.

Bahagian bampar bawah kini dilengkapi salur udara lebih besar. Ia adalah yang pertama buat BMW untuk peralihan udara dibawa masuk ke saluran brek udara dan ‘air curtain’.

EKZOS berkembar dan lampu belakang LED bergaya.
EKZOS berkembar dan lampu belakang LED bergaya.

Elemen baharu juga diperkenalkan dengan liang udara sisi dan ‘air breather’ pada kedudukan menegak di belakang roda hadapan yang mengunjur ke atas untuk memaksimumkan aliran udara.

Jarak roda kenderaan lebih panjang dengan rim aloi 19 inci jejari berkembar 630 dwiwarna dan kemasan ekzos berkembar krom, lampu belakang LED merintasi pintu but menyerlahkan keseluruhan kenderaan.

RIM aloi 19 inci rekaan lima jejari menarik.
RIM aloi 19 inci rekaan lima jejari menarik.

Lebih bergaya, ia dilengkapi pintu automatik yang boleh dibuka dengan pergerakan kaki.

Untuk bahagian dalaman BMW 740Le, ia diserlahkan dengan limpahan gaya kemewahan, ruang yang luas dan ciri teknologi khusus buat penumpang belakang.

Pengecas tanpa wayar, kemasan kayu halus ‘Poplar Grain Grey’ yang dipadankan dengan material bumbung ‘Alacantra’ dan tempat duduk kulit Nappa boleh laras antara material berkualiti yang menghiasinya.

KEMASAN dalaman daripada material berkualiti tinggi.
KEMASAN dalaman daripada material berkualiti tinggi.

Bumbung panorama ‘sky louge’ dengan pencahayaan suasana tampil menyerlah pada waktu malam menjadikan perjalanan tambah menarik.

Ia turut didatangkan dengan sistem hiburan berkualiti tinggi untuk keseluruhan penumpang dengan 16 pembesar suara sekeliling jenama mewah Harman Kardon.

Sistem Operasi BMW 7.0, paparan skrin boleh dilaras oleh pengguna dan BMW Live Cockpit Professional menggabungkan instrumen kluster 12.3 inci dan paparan kawalan tengah bersaiz 10.25 inci dengan ciri skrin sesentuh.

Dua mod pencahayaan suasana turut disediakan untuk suasana dalaman lebih elegan mengikut keperluan dan gaya pemandu atau penumpang iaitu ‘Executive’ dan ‘Expressive’.

KERUSI penumpang dengan skrin sesentuh individu.
KERUSI penumpang dengan skrin sesentuh individu.

Untuk pemanduan, enjin BMW 740Le X Drive pacuan semua roda ini dikuasakan dengan 3.0 liter menjana kuasa kuda 286 HP serta menggabungkan enjin petrol dan motor elektrik .

Ia memberi tambahan 113 kuasa kuda yang mampu bergerak sejauh 46 kilometer (km) untuk sekali cas penuh dengan kelajuan maksimum tertinggi dalam kelasnya iaitu 140 kilometer/sejam (km/j).

Tiga mod pemanduan disediakan iaitu elektrik, hibrid dan sport.

Ia dipadankan transmisi lapan kelajuan automatik Steptronic yang digabungkan secara pintar untuk sistem navigasi, kamera dan radar pengesan untuk sistem mula henti dan pelayaran secara efisien.

Dua kunci pintar disediakan dengan kunci digital BMW bagi model ini membolehkan pemandu melihat jarak bahan api, status pintu sudah dikunci dan pencahayaan serta prakemasukan.

Ciri keselamatannya membabitkan sistem Bantuan Mengelak (Evasion Aid), ‘Crossroads Warning with City Brake Activation’, Bantuan Stering dan Kawalan Laluan, Bantuan Parkir dan Bantuan Mengundur untuk kemudahan pemandu.

TABLET skrin sesentuh khusus untuk penumpang.
TABLET skrin sesentuh khusus untuk penumpang.

Secara keseluruhan, BMW 740Le xDrive Pure Excellence dilengkapi elemen prestasi enjin, teknologi mesra alam, ketersambungan teknologi terkini serta rekaan elegan dan sporty.

Selesa dengan pelbagai kemudahan kepada penumpang, ia sememangnya direka buat golongan atasan untuk penampilan dan status yang lebih tinggi bagi disesuaikan dengan gaya hidup.

BMW 7 Series baharu ini ditawarkan dalam empat warna elegan iaitu putih (Mineral White), hitam (Black Sapphire), kelabu (Bernina Grey) dan biru (Imperial Blue).

Ia boleh digandingkan dengan kemasan dalaman ‘Black Nappa Leather’ atau ‘Cognac Nappa Leather’.

Untuk pasaran Malaysia, BMW 740Le xDrive Pure Excellence baharu dijual pada harga RM594,800 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan ditawarkan.

#vroomHM.

BMW 740LE XDRIVE PURE EXCELLENCE

• ENJIN: 2,998 cc, 6 silinder sebaris, PHEV.

• KUASA MAKSIMUM: 290hp pada 5,000 hingga 6,000rpm.

• TORK MAKSIMUM: 600Nm pada 1,500 hingga 5,300rpm.

• TRANSMISI: 8 kelajuan Steptronic pacuan semua roda.

• KAPASITI TANGKI BAHAN API: 46 liter.

• CIRI KESELAMATAN: Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC) melalui Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC), Kawalan Brek Selekoh (DBC), Sistem Brek-Anti Kunci (ABS) dengan Bantu Brek, 6 beg udara dan ISOFIX..

• HARGA: RM594,800 (atas jalan tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 7:00 AM