KIA Sorento Serba Baharu pamer ciri premium dengan harga bermula sekitar RM220K
KIA Sorento Serba Baharu pamer ciri premium dengan harga bermula sekitar RM220K
Lizam Ridzuan


Antara yang ditunggu peminat kenderaan jenama Korea ini ialah kenderaan utiliti sukan (SUV) Kia Sorento Serba Baharu yang bakal menjengah ke pasaran Malaysia.

Menerusi pengedarnya, Dinamikjaya Motors, model generasi keempat itu dipertontonkan kepada media pada majlis khas di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Anggaran harganya sekitar RM220,000 hingga RM255,000 dan ia ditawarkan menerusi tiga varian sebagai model pemasangan tempatan (CKD).

Jika dibandingkan dengan generasi terdahulu, dimensinya lebih besar dengan penambahan 10 milimeter (mm) pada setiap sudut termasuk jarak roda lebih panjang 35mm.

Rekaan hadapannya lebih premium dengan berkonsepkan 'hidung harimau'.

RUANG kabin premium dan terperinci.
RUANG kabin premium dan terperinci.

Ia dipadankan dengan lampu utama LED lebih nipis serta lampu nyalaan siang dengan berbentuk 'L'.

Rekaan bampar hadapan dan dengan elemen 'skid plate' pada bahagian bawah menyerlahkan ciri aktif SUV ini.

Lampu belakang menegak selain 'spoiler' di atas pintu kargo dengan lampu brek ketiga juga menyerlahkan lagi dinamika kenderaan ini.

Ia juga didatangkan dengan rim aloi bersaiz 19 inci untuk varian tertinggi dan 18 inci sebagai ciri standard.

SUV segmen D tujuh tempat duduk ini didatangkan dengan tiga pilihan enjin iaitu 2.5 2WD 'naturally-aspirated' yang menawarkan 177 kuasa kuda (hp) dan tork 232Nm yang menawarkan transmisi enam kelajuan automatik.

PANEL meter pemandu TFT.
PANEL meter pemandu TFT.

Ia juga didatangkan dengan enjin 2.5 liter AWD dan 2.2D turbo diesel yang menjana 199 kuasa kuda dan tork 440Nm selain transmisi dwi-klac lapan kelajuan.

Ruang kabinnya juga penuh gaya dengan papan pemuka menarik.

REKAAN yang tampil elegan.
REKAAN yang tampil elegan.

Ia dilengkapi ciri ruang penyaman udara dua bahagian, sistem infotainmen bersaiz 10.25 inci (12.3 inci untuk varian tertinggi).

SUV ini dilengkapi pelbagai sistem keselamatan termasuk enam beg keselamatan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek dan Kawalan Cengkaman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 7:00 AM