AHMAD Zahid beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Majlis Santunan Kasih Syawal Bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah di Sri Satria, Putrajaya. Turut hadir, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.  FOTO Asyraf Hamzah
AHMAD Zahid beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Majlis Santunan Kasih Syawal Bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah di Sri Satria, Putrajaya. Turut hadir, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman. FOTO Asyraf Hamzah
Suzalina Halid


Putrajaya: Semua pihak perlu membuka buku baharu dengan berhenti menggunakan taktik menaikkan semula video lama yang mengutuk parti lain.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ini kerana suasana realiti politik kini sudah berubah.

"Kalau video lama memang banyak video yang begitu. Parti lain pun begitu juga, ada sebuah video oleh pemimpin parti Islam minta sokong DAP, itupun boleh dimainkan.

"Tetapi realiti politiknya suasana sudah berubah. Senario politik juga sudah berubah dan pada hemat saya kita tutup buku lama.

"Buka buku barulah dalam hal ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Santunan Kasih Syawal bersama Timbalan Perdana Menteri, di Sri Satria, di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas video berhubung calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, mengkritik Barisan Nasional (BN).

Namun Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching dilaporkan berkata, ia adalah video lama yang diambil pada November 2022 ketika kempen PRU15 di Kulai, Johor.

Mengenai ramalan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa DAP akan memenangi PRK Kuala Kubu Bharu, Ahmad Zahid bagaimanapun berkata, ia hanya pendapat peribadi bekas Perdana Menteri itu.

"Itu pendapat beliau, sangat eloklah beliau menumpukan perhatian kepada amal ibadat sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 8:03 PM