TAMPIL ciri keselesaan.
TAMPIL ciri keselesaan.
Lizam Ridzuan


SEMEMANGNYA model Yamaha XMax Serba Baharu ataupun dikenali sebagai V2 dilancarkan ke dalam pasaran tempatan pada Julai tahun ini mempunyai aura tersendiri.

Sejak diperkenalkan buat pertama kali ke dalam pasaran tempatan pada 2018 ia mengubah landskap pasaran skuter maxi di dalam negara.

Model XMax saban hari menjadi 'igauan' ramai peminat dan sanggup menunggu untuk tempoh yang panjang bagi mendapatkan skuter ini.

Vroom berpeluang menunggang uji Yamaha XMax Serba Baharu itu baru-baru ini bagi menilai prestasi dan ciri perubahan daripada model terdahulu.

Untuk rekaan paling ketara ialah lampu hadapan dan belakang dengan ciri elemen-X membezakannya daripada V1 serta lampu isyarat juga diletakkan pada bahagian atas berhampiran cermin pelindung angin.

Rekaan cermin pandang sisi, tempat duduk gaya comfort seat dan bahagian panel sisi juga melihatkan kelainan.

Selain itu perubahan paling besar ialah meter LCD digital 4.2 inci dengan keterhubungan aplikasi Y-Connect dan Garmin StreetCross

Ia boleh disambungkan kepada telefon pintar dan sangat memudahkan penulis untuk carian lokasi tugasan atau tujuan tertentu dengan peta terpampang pada meter.

REKAAN lampu belakang diperbaharui.
REKAAN lampu belakang diperbaharui.

Untuk dimensi XMax ini lebih kompak iaitu lebih pendek sekitar 5mm namun lebih tinggi dan lebar daripada V1.

Kedudukan posisi menunggang penulis rasakan yang ia sedikit tinggi meskipun ketinggian pelana sama dengan model terdahulu dengan rekaan pemegang yang dikebelakangkan sedikit rapat kepada penunggang.

Untuk enjin ia kekal dengan 249.8 cc Euro4 yang menjana kuasa 22.8PS pada 7,000 rpm dan tork 24.3Nm pada 5,500 rpm menjadikan tunggangan ada elemen prestasi serta lebih lancar dengan transmisi CVT.

Sempat menunggang uji model ini ke Kuala Pilah dan Jelebu, Negeri Sembilan menerusi fork hadapan teleskopik dan belakang penyerap hentak berkembar ia adalah stabil serta seronok untuk melayan selekoh secara sederhana.

Menerusi tayar hadapan 120/70 -15 dan belakang 140/70 - 14 dan brek cakera hadapan dan belakang dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran menjadikan tunggangan lebih yakin.

METER LCD baharu.
METER LCD baharu.

Ia juga dilengkapi dengan sistem kawalan cengkaman (TCS) untuk kawalan lebih baik ketika jalan basah.

Tangki bahan api 13 liter membolehkan jarak perjalanan sehingga 315 kilometer (km) dicatatkan penulis namun ia bergantung kepada faktor berat dan cara tunggangan masing-masing.

Secara keseluruhan, Yamaha XMax sememangnya mempunyai pelbagai faktor tarikan buat peminat jentera dua roda beralih dari motosikal gear manual kepada automatik CVT.

RUANG simpanan luas.
RUANG simpanan luas.

Tunggangan santai namun terdapat elemen prestasi menjadikan ia sesuai sama ada buat tujuan harian atau berkonvoi ke sesuatu destinasi yang jauh ia boleh dilakukan.

Satu lagi elemen wow! ialah ruang simpanan bawah tempat duduk kekal seperti sebelum ini sangat luas dan boleh memuatkan dua topi keledar dalam satu masa.

Yamaha XMax Serba Baharu V2 ditawarkan pada harga RM23,998 (atas jalan tanpa insurans) dengan dua pilihan warna iaitu Biru Icon dan Perak Max.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 6:11 AM