Lizam Ridzuan


BUAT masa ini, ia adalah skuter maxi paling 'hot' dalam pasaran tempatan yang diperkenalkan pada 2018.

Yamaha XMax menawarkan rekaan yang sporty dengan ciri premium diinspirasikan daripada model skuter teratas jenama itu iaitu T-Max.

Vroom menunggang ujinya bagi menilai prestasi dan ciri ditawarkan sebagai pilihan kepada peminat jentera dua roda di negara ini.

Untuk rekaan luaran, penulis berpendapat XMax menawarkan bentuk paling sporty dalam segmennya yang dapat dilihat daripada pelbagai sudut.

POSISI menunggang selesa.
POSISI menunggang selesa.

Pada bahagian hadapan, ia didatangkan dengan lampu berkembar dan lampu nyalaan siang (DRL) LED yang jelas dilihat pada waktu siang bagi aspek keselamatan tambahan.

Ketika malam atau cahaya gelap, jarak

pencahayaan tidak cukup jauh untuk lampu tinggi. Ia perlu ditambah baik bagi meluaskan jangkauan penglihatan untuk tunggangan lebih meyakinkan.

REKAAN sporty dan menarik.
REKAAN sporty dan menarik.

Cermin pelindung angin larasan manual memberi kelebihan ketika jentera berada pada kelajuan tinggi.

Lampu belakang LED pula sangat jelas pada malam dan siang.

Pemegang pula direka dengan elemen moden dan didatangkan antaranya dengan suis penghidup serta mematikan enjin, lampu kecemasan serta butang larasan maklumat meter.

REKAAN lampu belakang dengan pencahayaan jelas.
REKAAN lampu belakang dengan pencahayaan jelas.

Panel instrumen meter analog dan digital bukan sahaja mudah dilihat, malah memudahkan penunggang merancang perjalanan dengan Paparan Maklumat Pelbagai (MID) seperti jarak perjalanan, suhu dan tahap bahan api.

Pelana dengan ketinggian 795 milimeter (mm) memberi kelebihan buat yang berketinggian 176 sentimeter (sm) ke atas untuk tidak berjengket ketika motosikal berhenti.

Ruang storan luas dan mampu memuatkan dua topi keledar berpenutup penuh serta barangan keperluan tunggangan lain.

SISTEM kunci pintar.
SISTEM kunci pintar.

Yamaha XMax didatangkan dengan enjin 250cc, sejukan cecair SOHC silinder tunggal yang menawarkan kuasa 23PS pada 7,000rpm dan tork maksimum sehingga 24.3Nm pada 5,500rpm.

Teknologi enjin Bluecore bukan sahaja menghasilkan kuasa dan tork yang berkuasa serta efisien, malah menepati penarafan piawaian standard emisi Euro 4 (EU4).

Sepanjang tunggang uji, penulis mengendalikan skuter ini dengan baik meskipun beratnya sekitar 179 kilogram (kg).

RUANG storan luas.
RUANG storan luas.

Sebaik bergerak, ia memecut lancar dengan sistem transmisi automatik tali-sawat V.

Sesuai mencelah di kesesakan jalan raya, ia juga ideal untuk perjalanan jarak jauh pada kelajuan maksimum sekitar 140 kilometer sejam (km/j).

Tangki bahan api 13 liter membolehkan ia mencapai jarak perjalanan sehingga 300 kilometer namun bergantung kepada corak tunggangan, muatan dan permukaan jalan.

INSTRUMEN meter analog dan digital.
INSTRUMEN meter analog dan digital.

Sistem keselamatan didatangkan dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran melalui brek cakera hadapan 267mm dan belakang 245mm.

Ia turut dilengkapi Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) untuk lebih keyakinan menunggang terutama ketika menempuh laluan licin dan basah.

Sistem suspensi hadapan teleskopik dengan 'travel' 110mm dan unit buai pada belakang dengan 'travel' 79mm selesa untuk bergerak dengan tunggangan normal.

YAMAHA XMax ciri skuter premium.
YAMAHA XMax ciri skuter premium.

Saiz roda hadapan 120/70 bersaiz 15 inci dan belakang 140/70 bersaiz 14 inci stabil pada pelbagai kelajuan sama ada menunggang secara solo atau bersama pembonceng dengan suspensi belakang boleh laras pra-beban manual.

Selepas menunggang skuter maxi ini untuk beberapa hari, Yamaha XMax menawarkan jentera praktikal serta boleh disesuaikan dengan pelbagai gaya hidup.

Tanggapan skuter sebegini sebagai 'motor abah-abah' tidak lagi relevan kerana ia bukan lagi sekadar untuk dibawa ke surau atau masjid, malah untuk menjelajah ke negara jiran seperti Thailand.

SUIS larasan meter dan lampu kecemasan.
SUIS larasan meter dan lampu kecemasan.

Antara kelebihan dan kemudahan pada skuter ini ialah ruang simpanan luas, lubang soket 12V untuk pengecasan telefon pintar dan penghidup dengan kunci pintar.

Pemegang juga boleh dilaras secara manual untuk posisi menunggang santai.

Jika mahu lebih ruang, kotak simpanan dengan besi 'monorack' boleh dipasang pada bahagian belakang seperti pada unit tunggang uji ini yang boleh didapati melalui produk selepas pasaran yang dijual.

Ia tidak didatangkan secara standard. Meskipun ramai pemilik yang menukar suspensi belakang termasuk tayar sebaik membelinya, namun bagi pandangan penulis, ia terpulang kepada individu yang mahukan prestasi tunggangan berbeza.

SOKET pengecas 12V.
SOKET pengecas 12V.

Versi standard sudah memadai sekiranya anda menunggang secara biasa atau ke destinasi pilihan secara santai bersama teman dengan faktor kos memainkan peranan jika mahukan talaan suspensi atau lebih kelajuan.

Sesuai sebagai skuter maxi, tujuan pemilikannya adalah untuk menikmati limpahan ciri praktikal, sentuhan prestasi tork dan keselesaan yang paling utama.

Melalui elemen premium dan kemudahan alat ganti yang ditawarkan pada Yamaha XMax, ia adalah pilihan ideal mengikut keperluan mobiliti individu.

Tiga warna ditawarkan iaitu 'Matt Grey', 'Matt Blue' dan 'Matt Silver'.

Untuk pasaran Malaysia, ia dijual pada harga RM21,500 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan dua tahun atau 20,000km yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2020 @ 6:10 AM