Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


KALI terakhir penulis menunggang motosikal dua lejang ialah kira-kira 20 tahun lalu dan ia cukup mengimbau kenangan apabila dapat 'bertemu' kembali dengannya.

Model dua lejang ini adalah yang pertama dan terakhir buat pengeluar motosikal tempatan, Motosikal dan Enjin Nasional (Modenas) yang dilancarkan ke pasaran pada 2003.

Namun ketika itu, model ini tidak begitu mendapat sambutan hebat kerana dibayangi oleh model Yamaha 125ZR yang menguasai pasaran moped dua lejang.

Model Dinamik 120 kemudiannya dieksport ke Greece dan ia 'meletup' malah sangat popular di negara itu.

Namun selepas beberapa tahun, kerana pematuhan undang-undang emisi standard Eropah (EURO III), maka model dua lejang tidak lagi boleh dipasarkan di sana dan ia kembali ke tanah air serta diperkenalkan semula pada 2013.

Bermula saat itu, jentera ini mula diminati kerana selain faktor harga, ia masih lagi dikeluarkan sebagai model baharu yang dijual di kedai motosikal malah menjadi pilihan peminat tegar jentera dua lejang.

Vroom berpeluang menunggang uji model Modenas Dinamik 120 baru-baru ini.

Ia adalah model baharu 'new old stock' (NOS) keluaran 2018.

Meninjau rekaan, ia diasaskan daripada model Kawasaki Leo Star dapat dilihat terutama pada bahagian belakang dan untuk rekaan bahagian hadapan, ia air tangan pereka Modenas.

TAMPIL gaya sporty dan prestasi.
TAMPIL gaya sporty dan prestasi.

Kawasaki juga adalah rakan strategik Modenas sejak penubuhannya dan Dinamik 120 turut menggunakan enjin yang sama dengan model yang popular di Thailand, Filipina dan Indonesia itu.

Rekaan panel hadapan didatangkan dengan logo Modenas dan penutup enjin gaya aerodinamik yang disesuaikan corak grafik bersepadu pada kerangka.

Ia dilengkapi lampu hadapan 'filamen'/ Lampu belakang mengekalkan mentol konvensional yang turut dipasang pada lampu isyarat membelok.

Bahagian panel sisi dihias corak grafik. Ia turut didatangkan dengan pemegang besi penyangkut pada bawah dan belakang.

TUNGGANGAN posisi santai moped.
TUNGGANGAN posisi santai moped.

Fork teleskopik hadapan dengan rim tetuang lima jejari putih ciri standard dan sistem gantungan belakang monoshock ini adalah yang pertama diperkenalkan untuk motosikal Modenas.

Ekzos 'chamber' hitam dan 'silencer' dihiasi pelindung krom.

Panel meter dengan ciri odometer dan meter kelajuan, tahap bahan api serta paparan kedudukan gear, antara pembaharuan termaju pada zaman itu.

Pada pemegang, walaupun moped, ia dilengkapi dengan butang pemati enjin, selain ciri standard seperti lampu hadapan boleh dihidup atau dimatikan, tuil 'choke', suis lampu membelok, lampu 'flash' dan hon.

REKAAN belakang tirus.
REKAAN belakang tirus.

Tiada penghidup elektrik disediakan dan enjin perlu dihidupkan secara penghidup tendang. Pastinya, ia adalah ciri motosikal zaman itu.

Untuk keselamatan, ia dilengkapi brek cakera hadapan dan belakang untuk memberhentikan jentera dengan lebih mantap.

Pelana berketinggian 725 milimeter (mm) sesuai untuk pelbagai saiz ketinggian dan buat yang tinggi, pasti motosikal terasa seakan kecil.

Jentera dengan berat kering 98 kilogram (kg) ini bukan sahaja ringan dan mudah dikendalikan malah saiznya yang tidak terlalu besar memudahkan kawalan pada laluan sempit atau ketika menyusuri kesesakan jalan raya.

Pada bahagian bawah pelana seperti moped sezamannya, terdapat tangki bahan api, tangki minyak 2T, bateri sel basah dan sedikit ruang meletak alatan ringkas.

Untuk prestasi enjin, ia dipadankan dengan 118cc dua lejang silinder tunggal sejukan udara yang menjana kuasa 17PS pada 9,000 rpm dan tork maksimum 14.1Nm pada 8,000 rpm.

DINAMIK edisi Harimau Malaya diperkenalkan pada 2017.
DINAMIK edisi Harimau Malaya diperkenalkan pada 2017.

Ia juga didatangkan dengan klac basah dan transmisi enam kelajuan untuk prestasi serta kelancaran lebih baik.

Bunyi ekzos standard yang dihasilkan juga tidak membingitkan. Meskipun keras, ia masih 'merdu' buat jentera ini.

Namun jika diubah suai pasti emisi dan bunyi itu tidak lagi 'mesra' telinga.

Selain itu, enjinnya juga didatangkan dengan pemangkin yang membantu mengurangkan pengeluaran gas toksik.

Ia turut dilengkapi Sistem Udara Sekunder (Secondary Air System) untuk pembakaran bahan api lebih sempurna bagi mengurangkan pencemaran.

Jika dibandingkan dengan jentera moped empat lejang, sudah pasti dua lejang mempunyai kelebihan daripada segi pecutan dan kelajuan namun harus diingat, ia mempunyai minyak pelincir khas iaitu minyak 2T sebagai tambahan (kos sebotol sekitar RM15 mengikut jenama) dan perlu sentiasa ditambah jika semakin kurang.

DINAMIK dilancarkan pada 2003 bersama model Elit dan Ceria oleh Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia ketika itu.
DINAMIK dilancarkan pada 2003 bersama model Elit dan Ceria oleh Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Kelajuan maksimum jentera ini boleh mencecah 140 kilometer/sejam (km/j) dan dengan tangki bahan api sekitar 4.6 liter, ia mampu mengembara sejauh 140km, bergantung corak tunggangan.

Penulis dapat rasakan torknya sangat pantas dan responsif selain kendalian pada selekoh tajam juga stabil.

Posisi menunggang juga selesa, dengan pemegang rendah serta kedudukan menegak dan pelana selesa.

Namun untuk pembonceng, rekaannya agak tirus ke belakang.

Sejujurnya, sudah agak terlalu lama tidak merasakan kepuasan tunggangan yang sebegini.

Secara keseluruhan, motosikal dua lejang ini mempunyai sejarah perjalanan yang unik sehinggalah ia mula diterima dalam pasaran jauh selepas lama dilancarkan.

Sebaik diterima, jentera dua lejang pula sudah tidak lagi dibenarkan untuk pengeluaran di dalam negara ini dan berbaki yang ada sahaja untuk pembeli miliki.

Meskipun menjadi pilihan buat kaki modifikasi enjin motosikal, namun jentera ini bukan sekadar untuk tujuan yang sebegitu.

Ia adalah satu-satunya koleksi dua lejang negara yang masih wujud dan akan terus kekal menjadi lipatan sejarah. Seharusnya ia disimpan buat pemilik.

Namun kita harus akui, penggunaan jentera empat lejang lebih sesuai dengan peredaran zaman yang lebih efisien daripada segi kos penyelenggaraan dan elemen mesra alam.

Buat Modenas Dinamik 120, ia mempunyai nilai tersendiri dan kebanyakan kedai motosikal menjualnya pada harga RM6,000 hingga ke RM8,000 (atas jalan tanpa insurans) untuk model stok lama baharu (NOS).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 7:01 AM
DINAMIK 120 jentera dua lejang.
DINAMIK 120 jentera dua lejang.