Lizam Ridzuan

PENUBUHAN syarikat Motosikal dan Enjin Nasional (Modenas) serta pengenalan model Kriss pada 1996 menjadikan ia sebagai moped (cub) ikonik buat jenama itu sehingga kini.

Ia bukan saja menerima sambutan hebat malah membolehkan lebih ramai golongan di negara ini memiliki motosikal pada harga lebih berpatutan sebagai pengangkutan utama.

Sempena ulang tahun ke-25 Modenas tahun ini, Vroom berkesempatan berkunjung ke kilang pemasangan Modenas di Gurun, Kedah baru-baru ini untuk bertemu pengurusan dan pekerja senior di sana.

Pelbagai kisah dan pengalaman yang dikongsikan mengenai cabaran dan perjalanan buat mereka yang sudah berkhidmat sejak mula sehingga ke hari ini.

Melalui DRB-Hicom (ketika itu Diversified Resources Bhd) dengan kerjasama rakan teknikal daripada Kawasaki Heavy Industries (KHI), perjalanan projek ini berjalan sangat pantas.

Memeterai perjanjian pada Februari 1995, upacara pecah tanah pada Ogos tahun yang sama dan pada Mei 1996, semua infrastruktur siap sepenuhnya.

Seorang daripada pekerja dedikasi itu ialah Mohd Redzuan Yahaya, 57, yang sudah bersama Modenas sejak 1995.

Mohd Redzuan berkongsi pengalaman dia antara individu terbabit sejak awal sebaik idea yang dibentangkan di antara Tun Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri ketika itu dan Allahyarham Tan Sri Yahaya Ahmad sebagai Pengerusi Diversified Resources Bhd.

Semuanya bermula di pejabat mereka di Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Gurun dan memulakan proses pembangunan serta lakaran rekaan untuk motosikal Kriss yang diasaskan daripada model Kawasaki Kazer.

"Ketika itu, dalam pasaran, tidak banyak model empat lejang 110cc yang mempunyai rekaan menarik dan tampil sporty seperti yang ditawarkan oleh Kriss, ia menjadi fenomena sehingga berjaya terjual melebihi 500,000 unit," katanya.

Selain tenaga tempatan, ada 13 jurutera Kawasaki dari Jepun turut berada di kilang Modenas dalam memastikan motosikal pertama keluaran negara memenuhi standard yang ditetapkan sebelum dilancarkan ke pasaran.

MODEL Kriss 110 baharu terima sambutan hebat.
MODEL Kriss 110 baharu terima sambutan hebat.

Perkara sama turut dikongsi Bon Rit Song, 54, yang menyertai Modenas pada 1995. Beliau antara pekerja awal kilang pengeluaran di Gurun.

Menurutnya, ketika awal pembukaan, laluan utama masuk ke kilang hanyalah jalan tanah merah.

Sekiranya hujan lebat, jalan bertukar menjadi becak dan dipenuhi lumpur. "Namun detik paling tidak dapat dilupakan ialah berpeluang memberi penerangan kepada Tun Dr Mahathir ketika majlis pelancaran Kriss yang diadakan di kilang kami, ia turut mendapat liputan secara langsung media elektronik dan wajah saya turut terpampang di televisyen," katanya yang kini bertugas sebagai pengurus di bahagian pembuatan.

Antara momen lain turut dikongsi pekerja ialah ketika itu model Kriss lebih dikenali dan popular berbanding yang lain dan mereka cukup bangga dengannya.

Ada juga antara mereka berkesempatan menimba pengalaman di KHI, Jepun dalam penyelenggaraan mesin dan jentera pemasangan sebagai tunjang utama operasi pengeluaran yang secara purata menyasarkan penghasilan 500 unit motosikal sehari.

Mereka juga mengharap Modenas akan kembali mengecap detik kegemilangan seperti yang dilalui sekitar 1995 hingga 2005 dengan memperkenalkan model dan rekaan menarik sesuai untuk rakyat Malaysia.

Selepas Kriss, model 'easy rider' Jaguh adalah model kedua Modenas yang turut menjadi fenomena sebaik dilancarkan pada 1999.

Ia menerima sambutan hebat daripada pembeli dan lebih 20,000 unit dihasilkan.

Permulaan baharu untuk Modenas kini diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Roskan yang menjawat jawatan itu sejak April 2019.

Roslan turut mempunyai perancangan tersendiri.

Malah beberapa perubahan dalaman untuk ketua unit di Modenas juga dilakukan demi memastikan kelancaran operasi mereka selepas ini.

Antara yang menjadi keutamaan Roslan ialah untuk memfokus kepada perkhidmatan selepas jualan dan bekalan alat ganti yang tersedia dalam memastikan kelegaan kepada pemilik jenama itu.

ROSLAN
ROSLAN

"Ini ada norma baharu Modenas yang akan dilaksanakan dalam memastikan jenama ini kekal dan terus bersaing dalam industri dua roda di Malaysia dan serantau. Pada masa sama menawarkan produk yang sesuai dengan permintaan pasaran," katanya.

Syarikat itu juga kini merancang lebih banyak pusat servis Modenas dengan imej korporat (CI) yang standard untuk mewujudkan penjenamaan yang lebih terarah.

Beliau menyasarkan 60 pusat servis bakal dibuka pada 2022 di seluruh negara.

"Sempena ulang tahun ke-25 Modenas, kami akan memperkenalkan model skuter dan moped (cub) baharu yang dipertingkatkan pada hujung tahun ini.

"Untuk model edisi khas Kriss, ia masih dalam perancangan dan akan diumumkan tidak lama lagi," katanya.

Antara perkembangan lain ialah Modenas juga sedang menyiapkan barisan pemasangan model Kawasaki di Gurun yang mencapai tahap piawaian dan peralatan sama seperti terdapat di Jepun.

Mereka dijangka memasang dan mengedarkan model di bawah 800cc Kawasaki.

Beberapa model juga akan dijenamakan sebagai motosikal Modenas dan terkini, model Ninja 250.

Roslan menambah, Modenas Kriss 110 MR3 kini mendapat permintaan yang tinggi dalam pasaran malah terjual 26,000 unit sehingga Jun ini.

Tambahan 7,000 unit lagi pesanan masih dalam proses penghantaran.

"Model ini menjadi laras indikasi pengenalan model baharu kelak yang tiada aduan masalah berkaitan kualiti diterima dan semoga ia akan memacu dan menjana kembali jualan yang lebih baik serta mengembalikan zaman kegemilangan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 6:45 AM
ANTARA pekerja yang sudah berkhidmat 25 tahun bersama model Kriss 110 pada 1996.
ANTARA pekerja yang sudah berkhidmat 25 tahun bersama model Kriss 110 pada 1996.