Lizam Ridzuan

Sejak diperkenalkan pada 2006, Yamaha 135LC menjadi pilihan ramai kerana ia menawarkan moped klac auto yang ranggi dan berprestasi.

Bagi mengukuhkan lagi permintaan pasaran model itu, Yamaha 135LC FI Baharu 2022 dilancarkan baru-baru ini.

Uniknya, meskipun jenama Jepun, model ini hanya ditawarkan untuk pasaran di Malaysia dan dibangunkan bersama Yamaha Motor Company.

Untuk model terbaharu ini, antara ciri utama ialah enjin suntikan bahan api sejukan cecair serba baharu yang menepati penarafan piawaian Euro 4.

Ia dibina dengan kerangka yang lebih ringan dan kukuh untuk ciri dinamik dan ergonomik, sesuai bagi kegunaan harian.

Model terbaharu ini juga dengan tangki bahan api 4.6 liter lebih besar daripada generasi terdahulu bagi tunggangan yang lebih jauh.

Sistem membrek juga ditambah dengan brek cakera belakang dan lengan ayun rekaan baharu untuk lebih stabil ketika membrek.

Sistem kunci bersepadu juga dengan fungsi membuka tempat duduk dengan langkah mudah.

LC135 FI juga dengan meter digital sepenuhnya dengan paparan maklumat yang jelas dilihat dalam sebarang cuaca.

Ia juga dengan lampu utama dan lampu pilot LED menyerlahkan gaya agresif keseluruhan reka bentuk motosikal ini.

Rekaan lampu belakang LED dengan garis bentuk tajam seakan-akan

yang terdapat pada model Y16 bagi pencahayaan lebih baik.

WARNA ‘Midnight Star’ menawan.
WARNA ‘Midnight Star’ menawan.

Selain itu ciri aerodinamik diserlahkan dengan rekaan 'cowling' baharu serta mengurangkan geseran dan tekanan angin pada bahagian lutut untuk lebih lancar.

Enjin dengan 135cc sejukan cecair, 4 lejang SOHC, 4-Injap, silinder tunggal yang menjana 12.5 kuasa kuda pada 8,000 rpm dan tork 12.2Nm pada 6,000 rpm.

Ada tiga pilihan warna iaitu 'Merah Ruby', 'Cyan Kristal' dan 'Midnight Star' yang dijual pada harga RM7,798 (atas jalan tanpa insurans).

Selain itu, model Edisi Khas (SE) dengan warna 'Desert Storm' turut dijual pada harga RM8,198 (atas jalan tanpa insurans).

Model SE turut didatangkan dengan bakul premium Yamaha dengan pengecas telefon tersedia, kalis air serta membolehkan bukaan tempat duduk lebih luas.

Turut hadir ketika pelancaran ialah Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries Datuk Dr Jim Khor.

Jim berkata, model ini dihasilkan melalui kaji selidik pengguna selain mendengar pandangan apa yang diperlukan oleh penunggang motosikal.

"Ia dibangunkan bagi memenuhi keperluan peminat jentera dua roda di Malaysia yang bukan sahaja untuk tunggangan seharian malah yang berprestasi dalam segmennya," katanya.

VARIAN 135 LC FI Edisi Khas (SE).
VARIAN 135 LC FI Edisi Khas (SE).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 6:49 AM