KRISS 110 gaya premium.
KRISS 110 gaya premium.
Lizam Ridzuan


MODEL ikonik Modenas iaitu Kriss 110 kini ditambah baik melalui varian brek cakera yang diperkenalkan pada hujung tahun lalu.

Moped terlaris Modenas yang mula memasuki pasaran tempatan pada 1996 juga tampil dengan model serba baharu yang dilancarkan pada September 2019.

Kini Kriss 110 juga adalah model kedua selepas skuter maxi Elegan yang diberi sentuhan peningkatan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-25 Modenas tahun lalu.

Antara peningkatan utama yang diberi ialah dengan brek cakera dan angkup omboh berkembar hadapan selain mengekalkan gelendong pada belakang.

Selain itu, ia dilengkapi penyerap hentak berkembar, fork teleskopik, tayar tanpa tiub dengan rim tetuang serta warna kelabu titanium pada penutup enjin dan pelindung ekzos.

WARNA hitam antara yang ditawarkan.
WARNA hitam antara yang ditawarkan.

Ciri lain ialah lampu hadapan multi-reflector baharu untuk pencahayaan lebih terang pada malam dan rekaan corak grafik terkini yang melengkapi keseluruhan gaya.

Menerusi jarak roda lebih pendek, ketebalan kusyen ditambah pada tempat duduk yang menawarkan pengalaman tunggangan harian lebih selesa.

Kriss 110 juga didatangkan dengan paparan meter tahap bahan api dan gear digital, soket pengecas USB dan mengekalkan ruang simpanan bawah tempat duduk dengan kapasiti 6.6 liter.

Paling menarik, ia juga dilengkapi ciri lampu kecemasan sesuai untuk digunakan pada keadaan memerlukan selain ketika berhenti di lokasi berteduh ditepi jalan ketika hujan lebat.

BREK cakera hadapan.
BREK cakera hadapan.

PANEL meter dengan tahap bahan api digital.
PANEL meter dengan tahap bahan api digital.

Jentera dengan tangki bahan api 4.2 liter ini juga diberi penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV) serta mematuhi piawaian Euro 3.

Ia ciri paling premium dalam kelasnya.

Tiada perubahan daripada kapasiti enjin yang bersesaran 108cc empat lejang, SOHC satu silinder karburator sejukan udara yang menjana 4.7 kuasa kuda pada 8,000 rpm dan tork 6.7Nm pada 6,000 rpm dengan transmisi empat kelajuan.

Tiga pilihan warna ditawarkan iaitu hitam, biru dan merah.

Untuk pasaran Malaysia, Modenas Kriss 110 Disc Brake dijual pada harga RM3,877 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 kilometer (km) yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 6:08 AM