Lizam Ridzuan

Dua model dilancarkan oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) baru-baru ini dengan ciri yang lebih premium dan prestasi pemanduan yang menarik.

Volkswagen Arteon dan Tiguan Allspace R-Line dengan ciri 'fastback' serta kenderaan utiliti sukan (SUV) menampilkan pilihan yang praktikal bagi keperluan berbeza.

Vroom berpeluang menyertai sesi pandu uji media untuk kedua-dua model itu dari Puchong ke Janda Baik dan Genting Highlands, Pahang anjuran VPCM untuk menilai prestasi serta pengendaliannya.

Untuk model Arteon, ia mula diperkenalkan ke dalam pasaran global pada 2017 yang menampilkan gaya fastback lima pintu dengan reka bentuk avant-garde.

TIGUAN Allspace (kiri) dan Arteon R-Line.
TIGUAN Allspace (kiri) dan Arteon R-Line.

Untuk model ini, ia hanya didatangkan dengan satu varian iaitu R-Line untuk gaya lebih sporty dan menyerlah jika dilihat daripada mana-mana sudut adalah yang terbaik ditawarkan.

Melihat kepada rekaan luarannya, antara elemen yang menarik ialah kemasan krom hadapan agresif, logo R-Line, lampu utama LED, lampu belakang dengan indikasi dinamik, lampu brek ketiga unik, spoiler belakang hitam dan rim aloi Montevideo bersaiz 19 inci.

KOKPIT digital resolusi tinggi.
KOKPIT digital resolusi tinggi.

Ruang dalaman selesa ditambah gaya sporty melalui kerusi penumpang hadapan ErgoComfort dengan 14 talaan serta terdapat logo R-Line padanya.

Bagi pemandu pula, turut disediakan fungsi urutan.

Untuk sistem infotainmen, ia datang dengan skrin sesentuh Discover Pro bersaiz 9.2 inci ketersambungan Apple Car Play tanpa wayar dan Android Auto dan Mirrorlink dengan port USB jenis C.

Pemandu pula disediakan kokpit digital resolusi tinggi bersaiz 11.7 inci untuk maklumat perjalanan dengan enam paparan skrin boleh ubah menerusi 30 pilihan kombinasi termasuk navigasi 2D dan 3D pada paparan peta.

PEMANDUAN di lebuh raya dan desa.
PEMANDUAN di lebuh raya dan desa.

Ia juga dilengkapi sistem audio berkualiti tinggi Dynaudio dan 11 pembesar suara, amplifier digital 16 saluran serta subwoofer dengan kemewahan bunyi 700W.

Arteon didatangkan dengan enjin 2.0TSI turbo dengan kotak gear klac berkem

bar tujuh kelajuan direct-shift (DSG) yang ditambah baik, ia menghasilkan kuasa 190PS dan tork 320Nm.

Sistem bantu pemandu terbaik seperti Kawalan Casis Dinamik (DCC) dengan 15 larasan dan lima mod pemanduan iaitu Eco, Comfort, Normal, Sport serta Individual.

Sebelum meneruskan perjalanan ke Janda Baik, kami dibawa ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di Serdang bagi melakukan ujian keselamatan dan kestabilan untuk kedua-dua model.

Ujian slalom, pecutan dan keupayaan membrek dilakukan untuk pengalaman sebenar menggunakan fungsi yang ditawarkan seperti Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Bantu Brek (BA) dan Kunci Berbeza Elektronik (XDS).

Untuk model Tiguan Allspace, ia didatangkan dengan dua varian iaitu Highline dan R-Line melalui dua tawaran enjin 1.4TSI dan 2.0TSI.

Ia hadir dengan tapak roda lebih panjang menawarkan SUV luas dengan ciri praktikal tujuh tempat duduk untuk ruang kargo seluas 700 liter.

Jika baris kedua dan ketiga dilipat, ia meningkatkan tawaran ruang kepada 1,775 liter.

UJIAN 4Motion pada ‘roller’.
UJIAN 4Motion pada ‘roller’.

Penulis memandu uji varian R-Line dengan ciri ruang dalaman yang selesa seperti tempat duduk kulit Vienna dengan 12 larasan untuk pemandu dan kawalan suhu tiga zon, roda stereng pelbagai fungsi dengan 'paddle shifter' serta kawalan jelajah.

Tiguan Allspace Highiline dilengkapi enjin 1.4TSI turbo dengan kuasa 150PS dan 250Nm kotak gear enam kelajuan.

R-Line pula dilengkapi enjin 2.0TSI 4Motion pengecas turbo menjana kuasa 220 PS dan tork 350Nm dengan kotak gear tujuh kelajuan DSG.

Melalui pacuan semua roda (AWD), varian R-Line memberikan kuasa

dan pengendalian lebih baik serta diuji di atas 'roller' ketika di Maeps bagi memperlihatkan keupayaannya melepasi halangan dengan baik.

Di Janda Baik, kenderaan ini berupaya mendaki ke resort hentian makan tengah hari di puncak bukit yang agak menegak tanpa masalah kehilangan kuasa.

RUANG kargo Tiguan dengan kerusi baris ketiga dinaikkan.
RUANG kargo Tiguan dengan kerusi baris ketiga dinaikkan.

Secara keseluruhan, Arteon dan Tiguan Allspace yang kedua-duanya daripada varian R-Line menawarkan kenderaan yang bukan saja menyerlahkan prestasi serta ciri keselesaan malah rekaan menarik dengan sistem keselamatan terbaik.

Untuk pasaran Malaysia, Arteon dijual pada harga RM221,065 dan Tiguan Allspace R-Line pada harga RM209,575 (semua harga atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan ditawarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 6:42 AM