TIGUAN Allspace varian R-Line 4Motion.
TIGUAN Allspace varian R-Line 4Motion.
Lizam Ridzuan


KENDERAAN Utiliti Sukan (SUV) kini menjadi pilihan ramai kerana ia menawarkan pelbagai ciri praktikal.

Sejak dilancarkan pada 2017, model Volkswagen Allspace dengan jarak roda lebih panjang ini terjual lebih 1.5 juta unit di seluruh dunia malah mewakili 55 peratus pengeluaran Tiguan.

Tampil dengan gaya lebih sporty dan aktif, Volkswagen Tiguan Allspace menerusi dua varian iaitu Elegance dan R-Line Baharu 2022, diperkenalkan ke pasaran tempatan.

Kedua-dua model ini adalah pemasangan tempatan (CKD) dan ia dipasang di Pekan, Pahang.

Ia juga tampil lebih segar terutama pada bahagian gril yang direka semula serta bampar hadapan selain lampu utama yang lebih kemas.

Selain itu, model ini turut hadir dengan logo baharu Volkswagen bersama perkataan Tiguan pada bahagian belakang.

Ruang kabinnya pula dilengkapi sistem infotainmen Discover Pro bersaiz 9.2 inci generasi baharu dengan keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta fungsi arahan suara.

Ia juga datang dengan sistem navigasi binaan dalam. Pada masa sama, terdapat 30 pilihan lampu suasana menerusi jalur lampu pada bahagian pintu.

RUANG kabin R-Line.
RUANG kabin R-Line.

Untuk keselesaan, kerusi pemandu dan penumpang hadapan dilengkapi dengan suhu aktif untuk pengudaraan sejuk atau panas.

Untuk varian R-Line 4Motion, ia datang dengan sistem bunyi premium Harman Kardon 480-watt.

Ia diiringi 10 unit pembesar suara untuk akustik lebih mengasyikkan menerusi empat profil dan mod audio sekeliling.

Model Elegance juga memiliki empat mod pemanduan iaitu Eco, Normal, Sport dan Individual.

Selain itu, SUV ini turut dilengkapi sistem penyaman udara tiga zon dengan pelbagai mod selain fungsi 'Air Care' untuk perjalanan lebih selesa.

TUJUH tempat duduk belakang yang selesa.
TUJUH tempat duduk belakang yang selesa.

Selain itu, pintu butnya juga mudah untuk dibuka tanpa perlu menggunakan tangan serta boleh ditutup dengan lebih perlahan.

Sistem keselamatan juga ditambah dengan Sistem Bantuan Lorong pada kedua-dua varian.

Sistem ini akan menggerakkan kenderaan kembali kepada laluan asal jika pemandu tidak menyalakan lampu membelok untuk menukar lorong.

Ciri keselamatan utamanya antaranya termasuk enam beg keselamatan (tujuh untuk varian R-Line 4MOTION), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Brek Bantuan (BA), brek multi pelanggaran dan Brek Parkir Elektronik (EPB).

Elegance dijana enjin 1.4TSI Turbo yang mampu menjana 150PS dan tork 250Nm dengan kotak gear enam kelajuan DSG.

CIRI belakang kemasan baharu.
CIRI belakang kemasan baharu.

Varian R-Line 4Motion pula dijana enjin 2.0TSI Turbo yang menjana 220PS dan tork 350Nm dengan kotak gear tujuh kelajuan DSG.

Ia juga dilengkapi Kawalan Casis Dinamik dengan mod tambahan On-road, Off-road, Off-road Expert dan Snow.

Antara perbezaan kedua-dua varian ini ialah rim aloi 18 inci Frankfurt untuk Elegance dan 19 inci Valencia untuk R-Line 4Motion.

Volkswagen Tiguan Allspace varian Elegance dijual pada harga RM174,745. R-Line 4Motion pula dijual pada harga RM219,443 (semua harga atas jalan tanpa insurans dan cukai jualan).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 7:00 AM