ARTEON R-LINE baharu.
ARTEON R-LINE baharu.
Lizam Ridzuan


Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM )memperkenalkan model Arteon R-Line 4Motion baharu yang juga model pemasangan tempatan (CKD) di Pekan, Pahang.

Pengarah Urusannya, Erik Winter berkata, sejak dilancarkan tahun lalu, model fastback empat pintu itu menerima maklum balas positif sebagai kereta paling cantik dalam rangkaian pilihan jenama itu di negara ini.

"Ia juga menawarkan prestasi mengagumkan dengan ruang dalaman premium serta tawaran harga dengan pengecualian cukai jualan, ia dijangka akan menjadi model paling laris kerana tiada yang sepertinya dalam pasaran," katanya pada pelancaran model berkenaan secara maya hari ini.

Ia adalah model pertama menggunakan logo Volkswagen dan R baharu yang diserlahkan dengan karakter atletik dengan kemasan gril dan bampar yang lebih sporty.

Lampu utama LED penuh, lampu membelok dan belakang dengan ciri 3D menyerlahkan lagi karakter bentuknya.

Dijana enjin 2.0L turbo TSI dengan kotak gear 7 kelajuan direct-shit (DSG), ia menjana 280PS dan tork 350Nm menerusi sistem pacuan semua roda.

Ia juga mampu memecut daripada sifar ke 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 5.6 saat.

TEMPAT duduk sports kulit Nappa Carbon
TEMPAT duduk sports kulit Nappa Carbon

Ruang dalaman kokpit dilengkapi kemasan baharu termasuk roda stereng, tempat duduk sports pula dibaluti kulit Nappa Carbon dengan logo R baharu selain sistem pembesar suara premium Harman Kardon.

Sistem infotainment bersaiz 9.2 inci pula dengan kawalan gestur dan suara yang menyokong ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Pemandu pula dihidangkan dengan kokpit digital bersaiz 11.7 inci resolusi tinggi dengan enam pilihan skrin dilengkapi sistem bantuan pemandu termaju. Ia hadir dengan ciri Bantuan Lorong, Bantuan Sisi dan Amaran Pemandu.

Volkswagen Arteon R-Line 4Motion ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu Biru Lapiz, Kelabu Manganese, Perak Pyrite, Hitam Deep dan Putih Oryx yang dijual pada harga bermula RM247,670.

KOKPIT Digital pemandu bersaiz 11.7 inci.
KOKPIT Digital pemandu bersaiz 11.7 inci.

Ia didatangkan dengan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun serta jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Tempahan Arteon baharu boleh dibuat di atas talian menerusi eShowroom yang dibuka 24 jam dan boleh diakses bila-bila masa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 6:14 AM