Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


CIRI fastback premium Volskwagen.
CIRI fastback premium Volskwagen.

PADA Julai lalu, Volkswagen Arteon R-Line 4Motion model pemasangan tempatan (CKD) di Pekan, Pahang dengan ciri peningkatan ditawarkan ke pasaran tempatan dan Vroom berkesempatan memandu ujinya, baru-baru ini.

Pada kaca mata penulis, secara keseluruhan, rekaan luarannya menyerlahkan elemen 'fastback' gaya sporty.

Ia model pertama dipasang dengan gril dan logo Volkswagen baharu di Malaysia.

Tampil unik, lampu utama dan lampu nyalaan siangnya (DRL) LED seakan-akan bersepadu dengan gril. Daripada segi aspek keselamatan, ia mudah dilihat dari jauh.

Elemen sporty juga dapat dilihat melalui penggunaan rim aloi 19 inci 'Montevideo'.

Kemasan ekzos lingkaran krom di bawah bampar menyerlahkan model ini.

Rekaan kabin kereta ini berciri premium dengan kokpitnya berteknologi terkini.

Kerusi larasan elektrik 'Nappa Carbon' dengan fungsi urutan dan sokongan lumbar menawarkan keselesaan untuk perjalanan jarak jauh.

Ia juga dilengkapi penyaman udara tiga zon dengan penapis udara Climatronic untuk kualiti udara lebih baik serta kluster meter dengan kokpit digital 11.7 inci resolusi tinggi.

KABIN ringkas ciri menarik.
KABIN ringkas ciri menarik.

Bahkan, ia datang dengan sistem infotainmen 'Discover Pro' 9.2 inci keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Sistem bunyi dan 12 pembesar suara premium Harmon Kardon nyata mengujakan dengan kualiti akustik terbaik menerusi ketetapan mod bunyi pilihan seperti Pure, Chill Out, Live dan Energy.

Penulis sangat menggemari rekaan roda stereng R-Line kulit dengan butang sesentuh untuk larasan sistem audio dan pelayaran yang selesa untuk dipegang.

 ELEMEN sporty keseluruhan rekaan.
ELEMEN sporty keseluruhan rekaan.

Model ini dikuasakan dengan enjin 2.0TSI pengecas turbo petrol yang menjana 280PS dan tork 350Nm dengan sistem pacuan semua roda 4Motion.

Pemandu juga memiliki tiga mod pemanduan iaitu Comfort, Normal dan Sport.

Menerusi kotak gear Direct Shift (DSG) tujuh kelajuan, penulis dapat berasakan yang ia sangat responsif dan lancar pada sebarang kelajuan.

Untuk keselamatan, ia didatangkan antaranya dengan tujuh beg keselamatan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengatur Anti-Gelinciran (ASR), Kunci Pembezaan Elektronik (XDS) dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC).

ENJIN 2.0TSI liter turbo.
ENJIN 2.0TSI liter turbo.

Secara keseluruhan, model ini menawarkan pilihan buat pembeli yang mahukan jentera buatan Jerman yang datang dengan rekaan terkini dan prestasi.

Dengan suspensi hadapan McPherson dan Multilink di belakang, ia memberikan pemandu pemanduan terbaik sama ada di laluan lurus atau selekoh.

Penggunaan bahan apinya juga efisien. Ia mampu menjangkau perjalanan lebih 600 kilometer walaupun dengan pelbagai gaya pemanduan.

Untuk pasaran Malaysia, Volkswagen Arteon R-Line 4Motion ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu Biru Lapiz, Kelabu Manganese, Perak Pyrite, Hitam Deep dan Putih Oryx.

KAPASITI but luas.
KAPASITI but luas.

Ia dijual pada harga bermula RM247,670 dengan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun serta jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 6:10 AM