PRESTASI dipertingkat, kemasan diperbaharui.
PRESTASI dipertingkat, kemasan diperbaharui.
Lizam Ridzuan


PADA 1999, Porsche memperkenalkan model homologasi untuk perlumbaan piala FIA GT3 daripada model 996 generasi 911.

Kini, selepas dua dekad, menerusi edisi ketujuh, model Porsche 911 GT3 Serba Baharu yang dilimpahi ciri berprestasi tinggi dihasilkan.

Tidak terkecuali untuk pasaran di negara ini, Porsche Malaysia menerusi Sime Darby Auto Performance (SDAP) turut melancarkan model 911 GT3 ini yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Christopher Hunter berkata, sukan permotoran adalah identiti utama jenama kenderaan ini yang memindahkan teknologi prestasi perlumbaan litar untuk digunakan di atas jalan raya.

"Menerusi model 911 GT3, ia kekal menawarkan ciri pemanduan dinamik yang disesuaikan untuk pengguna yang turut ditawarkan dengan Pakej Touring. Ia menjadikan model GT3 ini sebagai gaya grand tourer," katanya.

Rekaan luaran masih mengekalkan DNA yang sama, namun untuk varian 911 GT3, Pakej Touring dengan 'rear wing' pada spoiler belakang melalui penggunaan 'carbon-fibre reinforced plastic' (CFRP), ia memberikan 'downforce' lebih baik terutama di selekoh dengan kelajuan tinggi.

CIRI prestasi gaya jalanan.
CIRI prestasi gaya jalanan.

Ruang kabin GT3 dilengkapi paparan 'Porsche Communication Management' (PCM) bersaiz 10.9 inci.

Ia datang dengan sokongan aplikasi 'Porsche Track Precision' bagi data, paparan langsung dan analisis video sesi pemanduan di litar.

Sebagai jentera dengan karakter ciri perlumbaan, ia didatangkan dengan enjin 4.0 liter enam silinder yang mampu menjana kuasa 510PS dan tork 470Nm.

Melalui transmisi 7 kelajuan PDK dan berat kenderaan sekitar 1,435 kilogram (kg), ia mampu mencapai kelajuan sehingga 320 kilometer/sejam (km/j) dan memecut daripada sifar ke 100km/j dalam tempoh 3.4 saat.

RUANG kabin elemen perlumbaan.
RUANG kabin elemen perlumbaan.

Buat yang mahukan lebih pemanduan prestasi, 911 GT3 ini juga didatangkan dengan kotak gear sport manual enam kelajuan GT atau memilih opsyen Pakej GT3 Touring tanpa sebarang kos tambahan.

Pakej Touring ini boleh dipilih antaranya dengan ciri warna luaran dan rim, lampu utama LED dengan Sistem Lampu Dinamik Porsche (PDLS) dan Sistem Lampu Dinamik Porsche Plus (PDLSP).

SPOILER 'rear wing' elemen sporty GT3.
SPOILER 'rear wing' elemen sporty GT3.

Model ini juga sudah diuji kemampuannya yang mencatatkan masa 6:59.927 minit di Litar Nürburgring Nordschleife. Ia 17 saat lebih pantas berbanding model terdahulu.

Untuk pasaran Malaysia, Porsche 911 GT3 dan 911 GT3 dengan Pakej Touring dijual pada harga RM1,766,244 (atas jalan tanpa insurans termasuk pengecualian cukai jualan).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 6:35 AM