Lizam Ridzuan

Perodua Bezza Limited Edition dilancarkan pada Pameran Auto Malaysia (Malaysia Autoshow 2019), baru-baru ini terhad kepada 50 unit sahaja.

Pada pameran yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, model diasaskan daripada Bezza 1.3 Premium X berkenaan tampil dengan warna luaran Putih Ivory.

Ia dilengkapi kit badan GearUp kemasan hitam kusam serta dikelilingi jejalur merah serta spoiler belakang dan padanan bumbung hitam, rim aloi kelabu, cermin sisi merah serta perekat grafik bercorak geometri pada bonet dan sisi.

Pada bahagian dalaman, ia tampil bergaya dengan sarung tempat duduk GearUp jahitan merah, corong udara merah dan karpet koil yang menyerlahkan aura elegan.


Pengarah Urusan Perodua Sales, Datuk Dr Zahari Husin berkata, model ini tampil berbeza dengan model standard untuk menyerlahkan lagi personaliti pemiliknya untuk gaya unik serta sporty.

“Selain kecekapan bahan api, kualiti, ruang dalaman yang luas dan selesa, kos pemilikan yang rendah serta praktikal, ia ditambah dengan elemen sporty dalam pakej kompak dan berbaloi,” katanya ketika pelancaran.

Sejak dilancarkan pada 2016, lebih 145,000 unit Bezza berjaya dijual sebagai sedan pertama jenama ini yang direka sepenuhnya oleh Perodua pada bahagian upper body.


Bagi varian ini, ia dijana enjin 1,329cc Dual VVT-i dan berdaya menghasilkan kuasa kuda 70PS pada 6,000 rpm dan tork 121Nm pada 4,000 rpm.

Ia dilengkapi ciri keselamatan dua beg udara SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Pengagihan Brek Elektronik (EBD) dan Isofix.

Untuk pasaran Malaysia, Perodua Bezza Limited Edition dijual pada harga RM44,900 (atas jalan tanpa insurans) yang sudah habis ditempah ketika acara Malaysia Autoshow 2019 lalu. #vroomHM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 9:00 AM