PERODUA Bezza GXtra terbaik untuk keluarga kecil.
PERODUA Bezza GXtra terbaik untuk keluarga kecil.
Mohd Razlan Salleh

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) memperkenalkan model Bezza GXtra yang akan menggantikan varian 1.0 Standard G. Varian terbaru ini memberi lebih nilai kepada orang ramai berikutan menerima sentuhan setanding varian 1.3L Premium X.

Antara pembaharuan dilakukan ialah skirting sisi dan hendal pintu krom selain boleh didapati dalam warna biru (Ocean Blue) yang sebelum ini hanya ditawarkan bagi varian 1.3L.

Ruang dalam juga diperkemas dengan kemasan ‘hitam piano’ pada papan pemuka dan panel audio manakala corong pendingin hawa, stereng dan kemasan konsol gear berwarna cerah bagi menerbitkan suasana unggul.

Varian terbaru ini juga didatangkan dengan sistem audio dilengkapi Bluetooth.

RUANG dalaman diperkemas.
RUANG dalaman diperkemas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh berkata, varian baru itu ditawarkan pada harga RM35,500 untuk transmisi manual dan RM37,500 bagi versi automatik.

“Sejak pelancaran model Bezza pada pertengahan 2016, ia menjadi sedan paling laris dengan hampir 100,000 unit dijual.

“Bezza menjadi pilihan ramai khususnya keluarga kecil kerana kebolehpercayaannya, kos pemilikan rendah, pemanduan mudah dan ruang luas,” katanya ketika pelancaran.

KONSOL gear dengan kemasan lebih cerah.
KONSOL gear dengan kemasan lebih cerah.

Aminar berkata, Bezza GXtra mewakili langkah seterusnya dalam jangka hayat model ini dengan menyediakan spesifikasi trim setanding 1.3L Premium X.

Perodua Bezza GXtra dikuasakan enjin 1.0L 1KR-VE dengan VVT-i (Variable Valve Timing-Intelligent) dengan pilihan transmisi manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan E-AT (kawalan elektronik).

ENJIN 1.0L 1KR-VE dengan VVT-i jimat minyak.
ENJIN 1.0L 1KR-VE dengan VVT-i jimat minyak.

Penggunaan bahan api direkodkan bagi varian manual model ini adalah sekitar 22.8 kilometer bagi setiap liter manakala model automatik mencapai 21.3km/l.

Varian ini juga hadir bersama jaminan selama lima tahun atau 150,000 kilometer, yang mana lebih awal.

RUANG barang belakang luas.
RUANG barang belakang luas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 12:03 AM