Sofyan Rizal Ishak


PERODUA mencatatkan 450 tempahan di Malaysia Autoshow 2019, baru-baru ini di mana ia adalah jumlah tertinggi yang pernah diterima syarikat itu bersempena acara tahunan terbabit.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin berkata, pencapaian itu bermakna syarikat telah mengumpul lebih daripada 110 tempahan pada setiap hari secara purata dan ia adalah pencapaian tertinggi sejak mula menyertai acara terbabit pada 2017.

“Walaupun Myvi menerima tempahan paling banyak antara model-model kami, Bezza turut menarik perhatian orang ramai melalui Perodua Bezza Limited Edition di mana hanya 50 unit ditawarkan.

“Malah, 50 unit edisi terhad Autoshow ini telah ditempah sepenuhnya dalam masa tiga hari dan buat masa ini, kami tidak bercadang memperkenalkannya di pasaran,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Perodua Bezza edisi terhad yang ditawarkan hanya 50  unit. FOTO emel
Perodua Bezza edisi terhad yang ditawarkan hanya 50 unit. FOTO emel

Malaysia Autoshow 2019 dianjurkan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) pada 11 hingga 14 April lalu bertempat di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

Ditawarkan pada harga RM44,890, Perodua Bezza Limited Edition tampil dengan warna luaran Ivory White, kit badan GearUp kemasan hitam matte yang dikelilingi jejalur merah serta spoiler belakang berwarna hitam matte.

Perodua Bezza menjadi popular di Malaysia sejak dilancarkan pada 2016 dengan lebih daripada 150,360 unit dijual sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 4:59 PM