STERENG dengan pelbagai butang fungsi.
STERENG dengan pelbagai butang fungsi.
MAZDA CX-5 2.0L GLS SKYACTIV serba mewah.
MAZDA CX-5 2.0L GLS SKYACTIV serba mewah.
BAHAGIAN belakang tampil garang.
BAHAGIAN belakang tampil garang.
RUANG penumpang belakang yang selesa.
RUANG penumpang belakang yang selesa.
ENJIN 2.0L tetap hambur kuasa mencukupi setiap masa.
ENJIN 2.0L tetap hambur kuasa mencukupi setiap masa.
Mohd Razlan Salleh


Sukar untuk dinafikan, minat pemandu ketika ini adalah kenderaan yang kelihatan lebih besar dan gah, secara tidak langsung mencetus fenomena baru dalam dunia automotif.

Keadaan ini tidak hanya berlaku di negara ini, malah dianggap sebagai satu perubahan global terhadap kenderaan pacuan empat roda atau kenderaan utiliti sukan (SUV).

Disebabkan permintaan tinggi, pemain industri automotif seluruh dunia termasuk syarikat yang sebelum ini terkenal dengan jentera bertaraf Supersport turut beralih kepada pengeluaran SUV.

Kebanjiran SUV di pasaran ketika ini memberi kelebihan kepada pengguna untuk memiliki jentera idaman mereka.

Penulis yakin antara model menjadi perhatian adalah Mazda CX-5 2.0L GLS SKYACTIV yang dipandu uji penulis, baru-baru ini.

Sebenarnya, model SUV kelas pertengahan ini mempunyai dua varian berbeza lain iaitu 2.5L SKYACTIV petrol dan 2.2L SKYACTIV diesel.

Mazda CX-5 2.0L GLS SKYACTIV adalah varian premium untuk varian 2.0L.

Walaupun hanya dibekalkan dengan nadi 1,998cc, namun kuasa ditawarkan tidak pernah mengecewakan setiap kali diperlukan.

Ternyata enjin empat silinder DOHC 16 injap VVT SKYACTIV yang membekalkan 162 kuasa kuda (hp) pada 6,000 rpm dan daya kilas maksimum 210Nm pada 4,000 rpm memadai untuk menggerakkan jentera seberat 1,572 kilogram (kg) ini.

Padanan transmisi automatik enam kelajuan SKYACTIV dengan fungsi manual menjadi pelengkap kepada jentera ini.

Mungkin dua lagi abangnya memiliki kuasa enjin yang lebih padu tetapi untuk mereka yang mahukan SUV dengan kendalian terbaik, varian ini adalah jawapannya.

Seperti yang diketahui, Mazda sentiasa menerapkan gaya Kodo dalam setiap modelnya termasuk sedan dan ini menjadikannya lebih beridentiti dan eksklusif.

Ini dapat dilihat melalui ciri luaran model ini apabila bahagian hadapan didatangkan dengan lampu hadapan kecil dan tirus manakala gril hadapan lebih besar.

Sistem pencahayaannya hadir dengan teknologi LED aktif yang akan mengikut gerak putaran stereng, membolehkan pandangan lebih jelas ketika membelok.

Selain itu, lampu nyalaan siang dan lampu kabus LED membantu pemandu menempuh laluan gelap atau tahap penglihatan yang rendah.

Daripada pandangan sisi pula, bentuknya kelihatan ‘berisi’ pada bahagian bawah sehingga ke pintu tetapi mula mengecil sebaik melepasi bingkai tingkap.

Bahagian belakang pula hadir dengan perumah lampu belakang LED berbentuk bujur tetap memiliki bucu tajam.

Sepasang ekzos dan padanan rim berwarna gelap bersaiz 17 inci menjadi pelengkap kepada reka bentuk model ini.

Varian dipandu uji penulis ini turut didatangkan bersama padanan skirting keliling yang meningkatkan ciri sporty jentera.

Menjengah ke ruang kabin pula, tema warna hitam menghiasi kerusi kulit dan panel sisi, menjadikannya lebih premium.

Namun, jalur trim berwarna perak pada papan pemuka, konsol tengah dan panel sisi tampak mewah.

Paparan meter LCD tujuh inci bersama info pelbagai di tengah papan pemuka membantu pemandu memantau sebarang perubahan pada kenderaan.

Konsol tengah pula menempatkan tombol gear dan butang parkir elektronik selain alat kawalan untuk MZD Connect Infotainment System.

Bagi aspek keselamatan, jentera ini didatangkan bersama enam beg udara, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengedaran Tekanan Brek Elektronik (EBD), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Sistem Kawalan Traksi (TCS), Bantuan Mula Mendaki (HSA), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan ISOFIX.

Sistem Mazda i-Stop Idling Technology membolehkan enjin dimatikan ketika berhenti bertujuan mengurangkan pencemaran dan pembaziran bahan api.

Sepanjang hampir seminggu memandu jentera ini, penulis dapat merasai tahap keselesaan terbaik apabila tiada gegaran kuat dirasakan ketika terlanggar lopak atau melalui laluan tidak rata.

Malah, kabin yang kedap menjadikan perjalanan lebih selesa dan tenteram.

Selain itu, sistem gantungan MacPherson Struts pada gandar depan dan Multi-Link pada roda belakang menunaikan tugasnya dengan cemerlang.

Pemanduan pada kelajuan tinggi atau ketika melayan selekoh juga kekal stabil apabila stereng mudah dikawal menggunakan teknologi Stereng Bantuan Kuasa Elektrik (EPAS).

Ruang belakang juga tidak mengecewakan apabila tiga penumpang dewasa mampu duduk dalam keadaan selesa walaupun dalam tempoh lama.

Ruang bagasi sebesar 442 liter pula mampu memuatkan tiga beg beroda bersaiz besar dengan mudah.

Jika masih tidak mencukupi, rebahkan kerusi belakang dan ruang bagasi menjadi seluas 1,342 liter.

Sistem Blind Spot Monitoring (BSM) sangat membantu penulis ketika mengharungi waktu puncak sekitar ibu negara apabila teknologi berkenaan mampu memberi amaran mengenai kehadiran ‘objek terlindung’ yang menghampiri kenderaan.

Keseluruhannya, Mazda CX-5 2.0L GLS SKYACTIV berharga RM138,364.43 (tanpa insurans) dengan lapan pilihan warna mungkin boleh menjadi pilihan terbaik bagi mereka yang mahu beralih daripada sedan kepada SUV.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 5:57 AM