KERJA mengecat menggunakan sistem semburan robotik termoden.
KERJA mengecat menggunakan sistem semburan robotik termoden.
HM Digital

Pelancaran pusat cat terbaru milik Mazda Malaysia Sdn Bhd (Mazda Malaysia) di Kulim, Kedah membuktikan syarikat pengeluar kenderaan Jepun itu berusaha gigih untuk menguasai kembali pasaran automotif Asia Tenggara.

Selain pusat mengecat yang dibina setaraf dengan kilang induk mereka di Jepun, Mazda Malaysia jugua memperkukuhkan sistem pengeluarannya dengan melancarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) CX-5 pemasangan tempatan (CKD) bagi tujuan eksport.

KEMASAN cat setaraf kilang induk Mazda di Jepun.
KEMASAN cat setaraf kilang induk Mazda di Jepun.

Sebelum memulakan pengeluaran CX-5, Mazda Malaysia melaburkan kira-kira RM87 juta membina pusat cat premium untuk warna eksklusif Mazda antaranya Soul Red Crystal dan Machine Grey.

Pegawai Eksekutif Urusan (Pengeluaran Global) Mazda Motor Corporation, Masatoshi Maruyama berkata, kilang Mazda di Kulim kini setaraf kilang induk mereka di Jepun.

“Model CX-5 sudah mula dijual di Thailand dan kami merancang untuk mengeksport model ini ke Filipina, Indonesia, Kemboja dan Myanmar. Kami lihat Malaysia sebagai pangkalan pengeluaran penting di rantau Asia Tenggara,” katanya.

MAZDA CX-5 akan dieksport ke rantau Asia Tenggara.
MAZDA CX-5 akan dieksport ke rantau Asia Tenggara.

Sementara itu, CX-5 terbaru masih menerapkan konsep ‘Kodo-Soul of Motion’ dengan perubahan ketara dapat dilihat pada bahagian gril hadapan dengan rekaan jeriji lebih halus. Ia kemudian dipadankan bersama perumah lampu utama LED yang tajam dan nipis.

Lima varian CX-5 ditawarkan dengan kapasiti enjin 2.0L dan 2.5L Skyactiv berkuasa petrol dan Skyactiv-D 2.2L berkuasa diesel. Ruang dalaman turut diberi nafas baru dan bercirikan premium.

Mazda CX-5 baru dijual pada harga bermula RM134,205.50 sehingga RM174,779.10 tanpa insurans.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 12:10 AM