HM Digital

Saya memiliki Proton Persona Elegan 1.6L (M) tahun 2010 dan mengalami masalah selepas menukar unit Intake Air-Fuel Module (IAFM) di pusat servis.

Kereta saya menjadi semput terutama ketika mula bergerak pada kedudukan gear satu walaupun klac dilepaskan dengan perlahan.

Ketika dalam kedudukan gear tinggi, kereta saya tersenggut ketika melepaskan pedal minyak. Walaupun sudah menukar penapis petrol dan palam pencucuh, keadaan sama tetap berlaku.

RIZAL MANSOR,

Cheras, Kuala Lumpur

Ada banyak faktor menyebabkan kelancaran enjin terganggu termasuk masalah pemancit bahan api atau sistem nyalaan tidak lagi berupaya menghasilkan percikan api yang memadai seperti sepatutnya.

Enjin yang tersentap dan tidak terdaya menangani bebanan ketika pedal ditekan memberi bayangan bahawa wujud masalah campuran bahan api tidak tepat oleh unit pengurusan enjin (ECU).

Anda memaklumkan sudah menukar unit IAFM dan sepatutnya, sewaktu pemasangan unit terbabit, pelarasan betul perlu supaya enjin berjalan lancar.

Adalah disyorkan membawa kereta balik ke pusat servis berkenaan untuk melakukan modul diagnostik berkomputer untuk mengenal pasti masalah dengan tepat.

Pendapat pihak ketiga atau mekanik mungkin membantu, namun lebih wajar mendapat nilai wang dibayar sewaktu menukar unit IAFM atau modul kemasukan udara-bahan api berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 5:44 AM