JENTERA F4 menggunakan jentera berkuasa 2.0 liter Renault.
JENTERA F4 menggunakan jentera berkuasa 2.0 liter Renault.
SESI taklimat pemanduan F4.
SESI taklimat pemanduan F4.
MEDIA yang menyertai pandu uji.
MEDIA yang menyertai pandu uji.
RODA stereng fungsi utama jentera F4.
RODA stereng fungsi utama jentera F4.
Lizam Ridzuan


Mengemudi sebuah jentera perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sememangnya menjadi idaman peminat sukan dunia permotoran sekali gus memberikan pengalaman berharga untuk seumur hidup.

Berbeza untuk sesi pandu uji Vroom kali ini kerana jentera empat roda yang diuji jarang sekali boleh diperolehi dan dianggap satu peluang keemasan apabila terpilih untuk menyertainya.

Petron Media Track Day 2017 baru-baru ini menganjurkan sesi kepada wartawan permotoran tempatan memandu sendiri kereta lumba Formula 4 (F4) yang menjadi asas untuk pemandu ke peringkat lebih tinggi seperti perlumbaan Formula 1 (F1).

Sebagai penaja bahan api dan minyak enjin bagi perlumbaan Kejohanan F4 Asia Tenggara, Petron memulakan kerjasama bersama penganjur sejak 2016 dan pertama kali bekerjasama dalam sukan permotoran.

Selain menjadi platform terbaik menguji prestasi bahan api dan mempromosikan jenama Petron, ia juga berpeluang membantu membangunkan perlumbaan F4 serta mengetengahkan bakat anak muda tempatan.

Berbalik kepada pandu uji, jentera F4 agak asing buat penulis yang kali pertama memandunya kerana sebelum ini hanya membayangkan ia perlu dikawal seperti kereta F1 dengan pertukaran gear terdapat pada roda stereng.

Sememangya roda stereng menjadi subjek utama taklimat pagi itu yang disampaikan oleh pemandu muda profesional perlumbaan F4, Adam Khalid serta Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Meritus GP penganjur untuk Kejohanan FIA F4 Asia Tenggara, Peter Thompson.

Sebelum itu, media turut diberi penerangan fungsi enam punat serta pedal penginjak (pedal shifter) supaya memahami dan mahir menggunakannya ketika di litar daripada sistem Pneumatic de­ngan GCU Life Racing yang digabungkan dengan unit kawalan enjin (ECU).

Taklimat keselamatan serta mematuhi isyarat bendera di litar juga perkara yang perlu dipatuhi bagi memastikan aktiviti berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Selesai penerangan, media yang ingin memandu perlu menukar baju kepada sut perlumbaan yang disediakan sebelum memasuki jentera perlumbaan bagi melaras kedudukan tempat duduk agar dapat menekan pedal kelajuan, klac dan brek dengan selesa.

Sebaik mengenakan topi keledar, sarung tangan dan pemakaian tali pinggang perlumbaan (harnest), enjin dihidupkan dan penulis mengemudi jentera bernombor 88 dan setiap sesi lima jentera perlumbaan akan berada di litar dengan didahului Adam yang juga bertindak sebagai marshal.

Untuk gear pertama ia perlu digerakkan dengan klac dan seterusnya hanya menggunakan pedal pada roda stereng untuk pertukaran enam transmisi kelajuan gear serta kaki mengawal pedal minyak dan brek ketika kelajuan tinggi sebelum mengambil selekoh.

Jentera yang dikuasakan enjin 2,000cc daripada Renault F4R homologated empat silinder itu menggunakan casis karbon penuh Monocoque serta diuji keselamatan mengikut standard Ujian Pelanggaran FIA F3 mampu menjana kelajuan sehingga 210 kilometer (km)/sejam.

Sesi itu juga memberi peluang kepada media merasai prestasi pemanduan luar biasa hasil penggunaan bahan api Petron Blaze 100 dan Minyak Pelincir Sintetik Penuh Blaze Racing yang terdapat pada setiap jentera perlumbaan.

Sebaik memulakan pemanduan ia sama seperti memandu kereta cuma pada posisi yang lebih rendah membolehkan ia membelok dengan lebih stabil pada kelajuan tinggi dan pada laluan lurus kelajuan maksimum berjaya dicatatkan penulis sekitar 170km/j.

Pada selekoh kesembilan, penulis terbabas kerana terlalu pantas memasuki selekoh dan menyebabkan jentera berpusing ke tepi litar, namun enjin berjaya dihidupkan sebelum kembali meneruskan pemanduan.

Selesai melakukan pusingan keempat, penulis kembali ke pit untuk memberi peluang kepada rakan media lain yang menunggu giliran mencuba jentera ini.

Secara keseluruhannya, sesi ini adalah platform terbaik untuk wartawan permotoran merasai sendiri bagaimana pengalaman berlumba di litar dengan jentera perlumbaan sebenar yang jarang sekali diperolehi.

Pada masa sama, ia juga memberi pendedahan kepada penulis akan kepentingan bahan api dan minyak enjin yang digunakan perlulah yang berkualiti tinggi dalam suasana perlumbaan de­ngan kadar kelajuan tinggi dan agresif ini.

Selain itu, F4 adalah kejohanan penting untuk bakat muda mengembang­kan kemahiran berlumba sebelum ke peringkat lebih tinggi seperti Formula 3 dan Formula 2.

Siri perlumbaan F4 SEA bakal memulakan saingan minggu hadapan menjadi medan 16 pemandu muda untuk mencapai impian beraksi dalam F1 kelak.

Perlumbaan siri pertama akan diadakan sebagai acara sokongan ketika perlumbaan Grand Prix Petronas F1 di Litar Antarabangsa Sepang tahun ini dengan enam perlumbaan diadakan dengan jentera yang ditala kelajuan dan reka bentuk standard sama untuk semua.

Untuk perjalanan dan prestasi jentera perlumbaan terbaik, Petron menyediakan bahan api dan minyak enjin daripada Blaze 100 dan Sintetik Penuh Blaze Racing sebagai sokongan terhadap pembangunan sukan permotoran di Asia Tenggara. Maklumat lanjut boleh melayari laman web www.formula4.asia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2017 @ 3:28 AM