MAZDA CX-3 2018 lebih sporty.
MAZDA CX-3 2018 lebih sporty.
Mohd Razlan Salleh

Sempena pembukaan cawangan dan Pusat 3S terkini Mazda di Jelutong, Pulau Pinang, baru-baru ini, Bermaz Motor Sdn Bhd melancarkan model sedan Mazda6 dan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak CX-3 untuk pasaran tempatan.

Model utama kereta penumpang Mazda itu menjadi gambaran terbaik falsafah KODO yang menampilkan perincian dan teknologi premium bertujuan mempertingkatkan lagi penampilan dan prestasinya.

Model kereta segmen D ini hadir lebih menarik menerusi perubahan luaran yang signifikan, dengan fokus terhadap aspek elegan dan lebih premium. Ini termasuk rim dan gril hadapan rekaan baru, lampu utama LED dan selain rekaan bampar bersama corong udara untuk menambah baik ciri aerodinamik.

Bahagian belakang pula tampil dengan kemasan krom, rekaan lampu baru yang kemas dan tajam bagi menyerlahkan potongannya selain pusat graviti rendah dan enjin berkuasa. Dari segi perubahan ruang dalaman, Mazda6 2018 menerima penambahbaikan yang komprehensif.

Papan pemuka dilebarkan untuk menyerlahkan lagi garis tajam dan sofistikasi Mazda yang tidak terlalu menonjol.

RUANG dalaman serba mewah.
RUANG dalaman serba mewah.

Paparan infotainmen MAZDA CONNECT dilebarkan menjadi lapan inci, diletakkan pada kedudukan lebih tinggi untuk mengurangkan sudut penglihatan dan memberi pandangan lebih jelas untuk pemandu dan penumpang.

Mazda6 2018 juga hadir dengan projeksi Paparan Pemanduan Aktif pada cermin utama.

Reka bentuk yang ditambah baik menjadikan pemanduan lebih jitu apabila sistem suspensi direka semula selain mengukuhkan lagi casis menepati pengalaman pemanduan Jinba Ittai yang menyeronokkan.

Aspek bising, getaran dan kekasaran (NVH) Mazda6 ditambah baik dengan panel pintu, kaca luaran, kemasan bumbung dan penebat pintu lebih tebal.

Dilengkapi dengan rangkaian teknologi keselamatan termaju i-ACTIVSENSE Mazda, membantu pemandu mengenal pasti risiko, selain meminimumkan kerosakan atau kecederaan selain sistem Driving Attention Alert (DAA).

Smart City Brake Support Rear (SCBS R) membantu menghindari pelanggaran pada kelajuan rendah apabila pemandu mengundurkan kenderaan.

Mazda6 2018 baru ditawarkan dalam varian SKYACTIV-G 2.0L, SKYACTIV-G 2.5L dan SKYACTIV-D 2.2L yang dipadankan bersama transmisi automatik SKYACTIV-DRIVE enam kelajuan dengan penukar gear secara manual, mod sport serta teknologi G-Vectoring Control.

Dengan harga bermula RM156,190.60 (tanpa insurans), Mazda6 ditawarkan dalam tujuh pilihan warna iaitu Snowflake White Pearl, Sonic Silver, Jet Black, Deep Crystal Blue, Soul Red Crystal, Machine Gray dan Titanium Flash.

 GAYA penuh eksklusif bagi sedan Segmen D.
GAYA penuh eksklusif bagi sedan Segmen D.

Sementara itu, Mazda CX-3 2018 ditambah baik, ditala semula dan menampilkan rekaan lebih halus.

Model SUV kompak popular ini tampil dengan gril hadapan rekaan baru bersama kemasan krom, lampu belakang direka semua dan rim baharu.

Dari segi dalaman pula, Mazda CX-3 menerima papan pemuka dinaik taraf, kemasan berwarna merah pada bilah corong pendingin hawa dan paling ketara ialah penggunaan brek parkir elektronik.

Seterusnya, rekaan konsol tengah, perehat tangan dan ruang penyimpanan barang lebih luas.

Penambahbaikan lain merangkumi tempat duduk hadapan direka semula untuk memberi sokongan dan keselesaan lebih baik.

Aspek NVH Mazda CX-3 2018 juga ditambah baik menerusi penggunaan panel pintu, kaca luaran dan penebat pintu lebih tebal, sekali gus menjanjikan kabin lebih senyap dan menenangkan.

Mazda CX-3 2018 dikuasakan enjin SKYACTIV-G 2.0L yang dipadankan dengan transmisi automatik SKYACTIV-DRIVE enam kelajuan bersama ciri penukaran gear manual, mod sport dan teknologi G-Vectoring Control (GVC) Mazda.

Antara ciri keselamatan dinamik i-ACTIVSENSE Mazda ialah Blind Spot Monitoring (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA).

Model berharga RM121,134 (tanpa insurans) ini didatangkan bersama enam pilihan warna iaitu Soul Red Crystal, Ceramic Metallic, Machine Grey, Deep Crystal Blue, Jet Black Mica dan Snowflake White Pearl. (atas jalan tidak termasuk insurans).

CORONG pendingin hawa dengan jalur merah.
CORONG pendingin hawa dengan jalur merah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 12:00 AM